Buang duit sahaja tangkap orang tidak puasa | DagangNews Skip to main content

Buang duit sahaja tangkap orang tidak puasa

Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR

KITA diajar dari kecil bahawa puasa itu wajib di bulan Ramadan. Rasanya semua orang tahu dan faham tentang kewajiban melakukan solat, puasa, mengeluarkan zakat dan naik haji dalam Rukun Islam.

 

Semua telah termaktub tetapi mengapa ada orang sengaja tidak berpuasa di bulan Ramadan?

 

Walau bagaimanapun memang terdapat beberapa kelonggaran, orang yang sakit yang tidak mampu berpuasa, orang yang dalam musafir, orang yang sedang mengandung, orang tua dan orang sakit yang tidak ada harapan sembuh.

 

Haram berbuka puasa pada bulan Ramadan tanpa uzur. Boleh berbuka dan wajib Qadha serta membayar fidyah.

 

Kemuliaan dari sudut masa sesuatu amalan itu dilakukan seperti kemuliaan melakukan amal ibadat di bulan-bulan yang dimuliakan Allah SWT terutamanya di bulan Ramadan.

 

Contohnya ialah pahala mengerjakan umrah di bulan Ramadan sama pahala ganjaran mengerjakan haji. Ini berdasarkan hadis sahih bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada seorang wanita Ansar:

 فَإِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فَاعْتَمِرِي ، فَإِنَّ عُمْرَةً فِيهِ تَعْدِلُ حَجَّةً

 Maksudnya: Sekiranya telah tiba bulan Ramadan, maka hendaklah kamu mengerjakan umrah. Ini kerana umrah pada bulan tersebut menyamai pahalanya seperti mengerjakan haji. Dalam riwayat Muslim: seperti mengerjakan haji bersama aku (Rasulullah SAW).

Riwayat al-Bukhari (1782) dan Muslim (1256)

 

Allah SWT telah memilih bulan Ramadan untuk beberapa peristiwa besar seperti peristiwa penurunan al-Quran (nuzul al-Quran), pembukaan kota Mekah (Fath Makkah), pembukaan kota Andalusia dan lain-lain.

 

Di samping itu juga, Alllah SWT telah mengkhususkan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan di dalamnya iaitu malam al-Qadr (Lailatul Qadr). Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ

Maksudnya: Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.

(Surah al-Qadr: 3)

 

Oleh sebab itu, Allah SWT telah menggandakan amalan yang dilakukan di dalam bulan Ramadan berlipat kali ganda berbanding bulan-bulan yang lain.


 

fudzail

 


Semoga dapat memberikan kefahaman yang sahih dalam agama dan Allah menganugerahkan kita taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah dengan ikhlas kepadaNya terutamanya di bulan Ramadan yang mulia ini.

 

Makna hadis lain, “Sesungguhnya puasa itu milik Aku (Allah) dan akulah (Allah) yang akan membalasnya”,

 

Kerana puasa, ia lebih pada amalan yang bersifat rahsia antara seorang hamba dengan Tuhannya. Bukan seperti perbuatan amalan yang lain dapat dizahirkan dengan perbuatan namun puasa tidak, hanya dia dan Allah yang tahu yang dia sedang berpuasa.

 

Sabda Rasulullah s.a.w : "Setiap amal anak Adam akan digandakan pahalanya sebanyak 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda. Allah berkata : "kecuali puasa maka sesungguhnya ia milik Aku  dan Aku yang akan membalasnya".

 

Begitulah hebatnya puasa di bulan Ramadan.

 

Namun di Malaysia kita mendengar jabatan agama menangkap orang tidak berpuasa. Seperti laporan yang Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) akan menggempur lokasi yang dipercayai dijadikan tempat golongan tidak berpuasa makan dan minum sepanjang Ramadan.

 

Penguatkuasa Syariah (PPS) sudah mengenal pasti beberapa lokasi golongan ponteng puasa menikmati hidangan. Pegawai dan anggota PPS akan melakukan rondaan dan pemantauan di 'port' yang sudah dikenal pasti. Khasnya di kedai makan, tempat perkelahan, kawasan perindustrian dan tempat rekreasi.

 

Dari operasi dan pemantauan sepanjang tahun lalu, golongan ponteng puasa bukan sahaja makan di restoran, malah di tapak projek pembinaan dan kawasan rekreasi.

 

Dalam melaksanakan penguatkuasaan mereka akan menggunakan pendekatan memberi nasihat kalau melakukan kesalahan pertama dan dikenakan tindakan tegas bagi kesalahan kedua.

 

Tindakan tegas juga dikenakan ke atas individu yang menjual makanan kepada orang tidak berpuasa.


 

fudzail

 


Seramai 171 pegawai dan anggota PPS termasuk 85 anggota sukarela akan melakukan rondaan dan pengawasan. Tindakan serupa boleh dikenakan ke atas orang yang menjual makanan, minuman dan rokok kepada orang Islam.

 

Di Terengganu, umat Islam yang didapati melakukan kesalahan itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

 

Sedangkan sewaktu 18 tahun di UAE tiada penangkapan dilakukan oleh jabatan agama. Semua orang bebas dan terbuka, tiada rasanya orang Islam tidak berpuasa.

 

Apalagi tiada kebenaran atau permit terlebih dahulu diperlukan untuk kedai-kedai makan di Dubai untuk menghidangkan makanan semasa waktu puasa.

 

Restoran dan kafe yang terletak di medan selera boleh "beroperasi seperti biasa" - yang bermaksud mereka tidak perlu meletakkan skrin atau langsir untuk menghidangkan makanan pada siang hari.

 

Buang duit buat operasi tangkap orang tak puasa

Timbul persoalan buat apa guna dana untuk menangkap orang tidak berpuasa. Sedangkan, orang susah tiada wang untuk sara hidup, lebih baik bantu yang lebih memerlukan.

 

Peningkatan iman seseorang Muslim itu bermula daripada rumah sebagai tempat tinggal dan sekolah kemudian universiti dan tempat bekerja.

 

Banyak orang muda mungkin kesedaran tiada walau telah diajar puasa itu wajib, seperti solat pun ramai yang tidak melakukannya.

 

Menurut Dato Dr Mohd Fadzilah Kamsah sejumlah 80% umat Islam di Malaysia masih tidak menyempurnakan solat lima waktu dalam sehari. Itu dari satu kajian yang telah dilakukannya.

 

Peratusan angka ini diperoleh melalui tinjauan beliau menerusi program-program ceramah dan motivasi, yang dijalankan di seluruh negara serta pemerhatian terhadap gaya hidup masa kini.


 

Dr Mohd Fadzilah Kamsah
                             Dr Mohd Fadzilah Kamsah

 


Menurut Dr Fadzilah, antara golongan yang kerap meninggalkan ibadah solat ini ialah pelajar sekolah, golongan belia, pekerja kilang, anggota pasukan seragam dan juga para peniaga (Utusan Malaysia 2008, 23 Jun).

 

Menurut kajian itu lagi hanya sekitar 17 hingga 20 peratus yang menunaikan solat fardu cukup lima waktu dalam sehari, sementara bagi pelajar -pelajar sekolah menengah, iaitu hanya 15 peratus sahaja mengakui bersembahyang lima kali sehari dan fakta ini ternyata menyamai dapatan kajian yang menunjukkan bahawa sejumlah 86.2% responden mengakui kerap meninggalkan solat dan sejumlah kecil responden yang melaksanakan solat dengan secukupnya.

 

Sementara itu Fuad Salleh, menyatakan 50 peratus sahaja umat islam memiliki al-Quran di rumah dan hanya 5 peratus membacanya dan 1 peratus lagi membaca tafsirannya.

 

Menurutnya, hanya 20 peratus yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama, 80 peratus remaja hari ini tidak tahu atau tidak pandai mengaji, 95 peratus umat Islam tidak pernah mencari atau pergi ke kelas mengaji untuk mendalami ilmu agama Islam itu sendiri, 50 peratus umat Islam adalah kaki botol dan minum arak.

 

Tambahnya lagi hanya 30 peratus umat Islam lelaki menunaikan solat Jumaat pada setiap minggu, 3 peratus umat Islam menunaikan solat Subuh secara berjamaah di masjid atau surau setiap hari.

 

Apalagi 90 peratus umat Islam percaya, faham, berkehendak, terikut-ikut kepada benda yang tahyul, pelindung diri, pelaris bisnes, tarik duit, seri muka, kebahagiaan rumah tangga, santau, pukau dan semua elemen yang menjuruskan kepada syirik kepada Allah.

 

Dan bermacam lagi tulisan Fuad Salleh.


 

fudzail

 


Terdapat banyak jalan mencegah kemungkaran dan dasar moral bukan satu-satunya untuk berbuat demikian.

 

Daripada membelanjakan wang untuk mencari orang Islam yang ponteng puasa, lebih baik ia digunakan untuk membantu asnaf-asnaf zakat.\



Perlukah kita menangkap orang tidak berpuasa sepanjang Ramadan?

 

Bagi saya, biarkan sahaja orang tidak berpuasa untuk bertaubat sedangkan ramai lagi tidak bersolat tanpa ditangkap. - DagangNews.com

 

 

DISCLAIMER: Artikel di atas adalah pandangan penulis semata-mata dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Sidang Editorial DagangNews.com