Skip to main content

British Council, Suruhanjaya Tinggi British lancar Bulan Pendidikan Sukan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 28 Jan - British Council Malaysia dan Suruhanjaya Tinggi British memperkenalkan Bulan Pendidikan Sukan yang pertama seumpamanya sempena ketibaan Birmingham 2022 Queen’s Baton Relay di Malaysia.

 

Sepanjang bulan ini, pelbagai aktiviti seperti biasiswa akademik, usaha sama dengan institusi pengajian tinggi, latihan bola sepak dan webinar telah disusun bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan pendidikan sukan. 

 

Inisiatif ini akan memupuk hubungan antarabangsa melalui pertukaran manfaat bersama dan usaha sama dalam pendidikan sukan untuk golongan belia serta meningkatkan perwakilan sama rata bagi wanita dalam kepimpinan sukan. 

 

Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay berkata, Birmingham 2022 akan menjadi Sukan Komanwel terbesar dan inklusif.

 

"Memandangkan Queen’s Baton ini akan mengelilingi 72 buah negara dan wilayah yang bertanding dalam sukan tersebut, pemegang baton mewakili komuniti, manakala baton relay mewakili penyatuan pelbagai komuniti di seluruh Komanwel. 

 

"Saya mengambil bahagian dalam pusingan Malaysia relay ini di Putrajaya semalam dan teruja melihat rakyat Malaysia daripada semua peringkat mengambil bahagian dalam acara tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

bc
Charles Hay dan Jazreel Goh ketika majlis Birmingham 2022 Queen’s Baton Relay di ibu negara

 

 

Sementara itu, Pengarah British Council Malaysia, Jazreel Goh berkata, sukan boleh menjadi sebuah pemangkin positif untuk membantu mengubah kehidupan komuniti rentan. 

 

 

bc

 

 

"Sebagai organisasi hubungan kebudayaan antarabangsa United Kingdom, British Council akan menggiatkan usaha untuk merapatkan jurang dengan mencetuskan usaha sama bermakna antara institusi-institusi pengajian tinggi, golongan profesional dan persatuan-persatuan sukan British dan Malaysia. 

 

"Kami berharap agar semua aktiviti yang telah dirancang untuk Bulan Pendidikan Sukan akan memberi inspirasi kepada generasi baharu juara-juara sukan," katanya.

 

 

bc

 

 

Mereka yang berminat untuk menghadiri siri webinar Smart Talk boleh mendaftar di https://www.britishcouncil.my/study-uk/smart-talks-webinar-series-2021

 

Ikuti saluran media sosial British Council di @BritishCouncilMalaysia (Facebook), @my_british (Instagram) dan @my_British (Twitter) untuk maklumat lanjut mengenai para penyampai dan tarikh webinar tersebut diadakan. - DagangNews.com