Bolehkah PIKAS turunkan kes positif di dalam sektor ekonomi? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 28 July 2021

Bolehkah PIKAS turunkan kes positif di dalam sektor ekonomi?

 


KERAJAAN Malaysia masih lagi gagal mengurangkan COVID-19 di negara ini. Jumlah kes sebanyak angka 5 setiap hari sangat membimbangkan semua pihak.  

 

Kes di Malaysia yang tinggi ini didorong juga oleh jangkitan tempat kerja dan industri. Antara Januari 2021 hingga Jun 2021 tahun ini, lebih 900 kluster tempat kerja direkodkan di Malaysia. Hal ini amat membimbangkan jika kluster tempat kerja atau industri ini terus menjadi penyumbang kepada jumlah kes jangkitan COVID-19 di Malaysia.

 

Walaupun ramai yang beranggapan kluster tempat kerja ini ialah kilang, namun ia membabitkan sub kluster pembuatan dan pengilangan, sub kluster perkhidmatan awam, sub kluster perkhidmatan swasta, sub kluster restoran, kluster ladang, kluster hotel, dan lain-lain. Kluster pembuatan, pengilangan, pembinaan dan pengeluaran mencatatkan kluster paling tinggi berbanding kluster lain.

 

Sektor pembuatan, pengilangan, pembinaan dan pengeluaran ini dibenarkan beroperasi dengan SOP yang ketat kerana semua sektor itu merupakan sektor yang penting buat negara.

 

Malaysia adalah sebuah negara ekonomi terbuka yang disokong asas eksport yang pelbagai dan sangat terintegrasi dalam rantaian bekalan serantau dan global. Indeks keterbukaan perdagangan Malaysia melebihi 130.0% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

 

Eksport dan import Malaysia juga didokong terutamanya oleh sektor pembuatan, pengilangan, pembinaan dan pengeluaran  yang didominasi oleh produk elektrik dan elektronik. Rakan dagang terbesar Malaysia ialah China, Singapura, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU). Jika industri pengilangan dan pembuatan ini ditutup pastinya ia akan merencatkan proses pemulihan ekonomi negara.

 

Namun begitu, dalam mengimbangi ekonomi dan jumlah jangkitan COVID-19 yang masih tinggi ini, kerajaan akan mempercepatkan vaksin dalam sektor pembuatan, pengilangan, pembinaan dan pengeluaran menerusi Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).

 

Kerajaan menyeru akan lebih banyak syarikat atau majikan dalam sektor industri pembuatan, pengilangan, pembinaan dan pengeluaran khususnya untuk menyertai PIKAS.

 

Apa itu PIKAS?

PIKAS adalah langkah diambil oleh Kerajaan melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk bantu kurangkan kadar COVID-19 di negara kita bagi membendung kluster tempat kerja terutamanya industri pembuatan, pengilangan, pembinaan dan pengeluaran tidak kira sama ada di tempat kerja atau asrama pekerja.

 

Walaupun industri ini dibenarkan beroperasi dengan SOP yang ketat oleh Majlis Keselamatan Malaysia (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), masih terdapat sebahagian besar syarikat atau majikan yang masih tidak patuh dengan peruntukan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 pindaan 2019 (Akta 466).

 

PIKAS yang baru sahaja mula dilaksanakan ini sebagai langkah responsif kepada cadangan dari persatuan industri, dewan perniagaan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (IKS) untuk membantu mempercepat vaksinasi khususnya pekerja industri pembuatan, pengilangan, pembinaan dan pengeluaran dengan vaksinasi dijalankan di premis kilang dan lokasi industri yang dikenal pasti.

 

PIKAS melaksanakan dua model pelaksanaaan yang mana model pertama, pemberian vaksin di kilang adalah untuk syarikat atau gabungan kilang yang memiliki lebih 1,000 pekerja yang dilihat sebagai kaedah yang lebih berkesan dan pantas. Sementara model kedua, syarikat atau majikan boleh menghantar pekerja mereka ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang berdekatan.

 

Lebih 1 juta  pekerja dari industri pembuatan dan pengilangan juga telah didaftar bagi usaha mencapai imuniti sektor-sektor pembuatan, pengilangan, pembinaan dan pengeluaran. Daripada 1 juta yang sudah berdaftar itu, sebanyak lebih 150,000 pekerja industri ini sudah menerima vaksinasi bagi dos pertama.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan, pelaksanaan PIKAS yang memfokuskan pemberian vaksin kepada pekerja industri pembuatan, pengilangan,pembinaan dan pengeluaran ini dilihat dapat membantu kerajaan menurunkan jumlah kes harian COVID-19 dengan lebih pantas.

 

Jika semua pekerja sudah menerima vaksin, ia akan dapat mengurangkan jangkitan wabak itu dalam kalangan pekerja industri pembuatan, pengilangan, pembinaan dan pengeluaran.  Menerusi PIKAS juga, kerajaan juga akan mengenal pasti lokasi yang berisiko tinggi dan akan meningkatkan vaksinasi di lokasi tersebut.

 

Bagi mengalakkan syarikat atau majikan dari  industri pembuatan, pengilangan, pembinaan dan pengeluaran menyertai PIKAS ini, syarikat dan majikan yang menjalankan program vaksin pekerja ini akan dibenarkan menjalankan operasi pada kapasiti penuh.

 

Kenapa Majikan Perlu Daftar PIKAS?

Selain itu, syarikat atau majikan juga akan mendapat potongan cukai pendapatan ke atas perbelanjaan bagi membeli peralatan dan pembayaran perkhidmatan berkaitan penglibatan di dalam PIKAS. Syarikat atau majikan juga dibenarkan membuat tuntutan bayaran balik dari HRD Corp ke atas perbelanjaan berkaitan program vaksin ini.

 

Kerajaan yakin dengan Program PIKAS ini akan memacu memulihkan ekonomi negara kerana industri pembuatan, pengilangan, pembinaan dan pengeluaran merupakan sub-sektor ekonomi yang buat negara.

 

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali menyatakan kerajaan memperuntukan RM 150 juta bagi memperkasakan PIKAS yang diperuntukkan di bawah program Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yakin bekalan vaksin akan mencukupi bagi menjayakan Program PIKAS ini. Kerajaan menyasarkan kira-kira 2.5 juta pekerja sektor pembuatan,pengilangan,pembinaan dan pengeluaran ini akan selesai menerima vaksin menerusi pelaksanaan Program PIKAS pada September 2021 ini.

 

Adakah janji tinggal janji?

Kerajaan juga akan memastikan program PIKAS ini mencapai sasarannya kerana jika  jumlah jangkitan COVID-19 mencapai fasa tertentu dalam Pelan Pemulihan Negara, kerajaan perlu membuka lebih banyak sektor ekonomi secara berperingkat. Kerajaan memberi jaminan Pelaksanaan PIKAS tidak akan menjejaskan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan keutamaan tetap pada golongan berisiko, orang kurang upaya dan orang awam yang masih menunggu suntikan.

 

PIKAS diramal sebagai trakjektori terbaik untuk melandaikan lengkungan jangkitan COVID-19 khususnya bagi industri pembuatan, pengilangan, pembinaan dan pengeluaran dan sekali gus inudstri ini mampu membantu memacu semula ekonomi negara. Namun betul ke ini akan berlaku dan kerajaan mampu lakukan?  - DagangNews.com

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

 

 

 

 

Portfolio Tags