Bina Puri tandatangani PPA dengan SESB bagi projek solar di Sabah | DagangNews Skip to main content

Bina Puri tandatangani PPA dengan SESB bagi projek solar di Sabah

 

 

 

KUALA LUMPUR 15 Dis - Bina Puri Holdings Bhd. menerusi anak syarikat milik penuhnya, BP Energy Sdn. Bhd. (BP Energy) menandatangani perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB). 

 

Perjanjian bertarikh 1 Disember 2021 itu membabitkan pembangunan ladang solar fotovoltaik (PV) berskala besar dengan kapasiti 5.00 MWa.c di Kampung Dasar, Kunak, Sabah.

 

Tempoh kontrak PPA adalah selama 21 tahun daripada tarikh operasi komersial yang dijadualkan pada 30 Jun 2023, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Ia akan menyaksikan BP Energy mereka bentuk, membina, menguji, mentauliah, memiliki, mengendali dan menyelenggara fasiliti penjanaan tenaga solar PV itu untuk sambungan ke rangkaian pengagihan voltan sederhana SESB di PMU Kunak.

 

Matthew Tee
Matthew Tee Kai Woon

 

 

Pengarah Eksekutif Kumpulan Bina Puri, Datuk Matthew Tee Kai Woon berkata, selepas 4 tahun menerima Surat Penerimaan Tawaran bagi projek ini daripada Suruhanjaya Tenaga (ST), pihaknya amat berbesar hati kerana akhirnya telah menandatangani PPA berkenaan. 

 

Katanya, daripada 10 syarikat yang dianugerahkan di bawah projek solar berskala besar pusingan kedua (LSS2) di Sabah, Bina Puri adalah syarikat pertama yang menandatangani PPA dengan SESB. 

 

"Ini merupakan satu peristiwa penting bagi kumpulan kerana ia adalah projek tenaga pertama Bina Puri di Malaysia, berikutan kejayaan penyenaraian anak syarikat tenaga kami pada Jun 2017 di Bursa Saham Indonesia (IDX). 

 

"Dengan pengumuman ini, kami berharap dapat memperoleh lebih banyak projek tenaga di Malaysia terutamanya Sabah kerana kami juga mempunyai kedudukan yang kukuh dalam sektor lain di sini seperti pembinaan dan pembangunan hartanah,” jelasnya.

 

Pada 5 Jun 2017, anak syarikat tenaga Bina Puri, PT Megapower Makmur (MPOW), sebuah syarikat jana kuasa elektrik bebas telah disenaraikan di IDX

 

MPOW mengendalikan 4 buah loji janakuasa diesel dengan kapasiti 14.0 megawatt di 4 lokasi di seluruh Indonesia dan sebuah loji mini hidro 4.2 megawatt di Sulawesi Selatan, Indonesia.

 

Bina Puri adalah syarikat berkaitan bukan kerajaan (bukan GLC) pertama yang berjaya disenaraikan di IDX. - DagangNews.com