Bila marah, ubah kedudukan badan: duduk jika berdiri | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Irsyad - 30 September 2022

Bila marah, ubah kedudukan badan: duduk jika berdiri

 

 

 

MARAH merupakan emosi atau perasaan semula jadi yang bersifat negatif dan lazimnya bermula daripada sedikit keresahan hingga menjadi ganas dan tidak terkawal.

 

Marah adalah ekspresi yang lahir secara spontan ketika seseorang individu disakiti, dikasari, dizalimi atau menghadapi sesuatu masalah.

 

Mengawal dan menahan marah adalah sikap yang terpuji dan dituntut dalam Islam.

 

Allah SWT dan Nabi SAW telah memuji golongan yang mampu mengawal dan menahan kemarahan.


 

irsyad

 

 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang.” (Surah Ali ‘Imran: 134)

 

Seterusnya firman Allah SWT yang bermaksud: “...dan apabila mereka marah, mereka segera memaafkan.” (Surah al-Syu’ara’: 37)

 

Selain itu, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Seorang pemuda meminta nasihat daripada Nabi SAW, dan Nabi bersabda: “Janganlah kamu menuruti amarah. Dia mengulangi pertanyaannya, dan Nabi mengulanginya sebanyak tiga kali.” (Riwayat al-Bukhari)

 

Jawapan Nabi SAW dalam hadis di atas walaupun sangat ringkas, tetapi pengabaian mungkin akan menyebabkan sesuatu yang besar kerana kemarahan mendorong seseorang bertindak di luar kawalan sehingga membawa kepada kecederaan atau pembunuhan.

 

Nabi SAW turut bersabda yang bermaksud: “Seorang yang kuat itu bukanlah yang handal bergusti; seorang yang kuat ialah orang yang mampu mengawal dirinya sewaktu sedang marah.” (Riwayat al-Bukhari Muslim)

 

Walaupun kemarahan dianggap sebagai perasaan dan ekspresi yang negatif, namun dalam beberapa situasi, marah itu dibenarkan oleh syarak. Misalnya, marah ketika agama Islam dihina atau marah ketika berlaku kezaliman dan penindasan ke atas golongan yang lemah.

 

Imam al-Tirmizi dalam sebuah hadis marfu’ menyifatkan sifat marah Nabi SAW yang bermaksud: “Perkara keduniaan tidak membuat Nabi marah. Adapun jika menyanggahi kebenaran, tiada apapun yang mampu berdepan Baginda, sehingga Baginda memenangkan kebenaran itu. Nabi juga tidak marah jika ia melibatkan urusan peribadi Baginda, dan tidak berusaha untuk memenangkan diri Baginda.” (Al-Syama’il al-Muhammadiyah)


 

irsyad

 


Perlu ditegaskan bahawa kemarahan tetap perlu dikawal serta disalurkan melalui jalan yang benar dan tidak membiarkan kemarahan menguasai diri hingga membawa kepada tindakan-tindakan diluar batasan syarak.

 

Terdapat beberapa langkah dan panduan yang boleh diamalkankan dalam kehdupan untuk mengawal dan membendung kemarahan.

 

1. Mengubah posisi ketika sedang marah, duduk jika sedang berdiri, berbaring jika sedang duduk

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila salah seorang daripada kamu marah sewaktu sedang berdiri, hendaklah dia duduk. Jika kemarahannya hilang, maka itu baik. Jika tidak, hendaklah dia berbaring.” (Riwayat Abi Daud)

 

2. Mengambil wuduk untuk memberi ketenangan dan ketenteraman jiwa

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kemarahan itu datang daripada syaitan, dan syaitan itu dicipta daripada apI, dan api hanya dapat dipadamkan dengan air. Maka jika salah seorang daripada kalian berasa marah, hendaklah dia berwuduk.” (Riwayat Abi Daud)

 

3. Elak dan jauhkan diri daripada membuat sesuatu keputusan yang besar dan penting

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak boleh seseorang itu menghakimi antara dua orang dalam keadaan marah.” (Riwayat Muslim)

 

Berdasarkan hadis tersebut, tidak wajar dikhususkan atau disempitkan dalam bab penghakiman seorang hakim sahaja, namun terpakai dalam pelbagai situasi lain yang memerlukan penetapan keputusan yang kritikal terutama jika melibatkan urusan orang ramai.

 

Sewajarnya, masa diperuntukan untuk menenangkan diri sebelum mengambil sesuatu keputusan.

 

 

irsyad

 

 

4. Mendiamkan diri dari melakukan tindakan dan percakapan untuk membalas

 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila salah seorang daripada kamu berasa marah, hendaklah dia diam.” (Al-Adab al-Mufrad)

 

Berdiam diri sewaktu marah adalah lebih baik, kerana dalam keadaan marah, perkataan-perkataan yang diungkapkan berkemungkinan akan mengguris perasaan orang lain dan mungkin memberi ancaman kepada diri sendiri.

 

 

irsyad

 

 

Demikianlah panduan yang boleh diamalkan dalam mengawal rasa marah dan sikap panas baran yang menyebabkan seseorang individu hilang pertimbangan dan kewarasan akal. - DagangNews.com

 

 

DR. AZRI BHARI adalah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor
Portfolio Tags