Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 27 August 2022

Bila Bursa Malaysia minta penjelasan mengapa saham bergerak luar biasa!

 

 

KENAIKAN mendadak harga dan jumlah perdagangan saham telah menyebabkan Teladan Setia Group  Berhad dikenakan pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (unusual market activity) oleh Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Teladan Setia Group  Berhad perlu menjawab kepada Bursa Malaysia jika ada terdapat sebarang isu yang menyebabkan harga saham tiba-tiba melonjak tinggi seperti pembangunan korporat, khabar angin, laporan atau apa-apa penjelasan lain dalam mematuhi Keperluan Penyenaraian Bursa Securities, seperti digariskan dalam Perenggan 9.03 mengenai kewajipan pendedahan segera (Corporate Disclosure Policy).

 

Untuk rekod, pada awal bulan Ogos 2022, harga saham Teladan Setia Group  Berhad telah mencatat peningkatan lebih daripada 60% dengan jumlah dagangan hampir 10 juta unit.

 

Perubahan harga dan aktiviti dagangan luar biasa ini perlu difahami kerana di dalam bidang pelaburan banyak faktor yang boleh menyumbang kepada isu ini.

 

Antara faktor tersebut ialah, salah satu strategi pedagang dan pelabur membeli saham lebih awal sebelum syarikat mengeluarkan laporan suku tahun, kebocoran maklumat dari dalam, perkembangan positif serta negatif syarikat tersebut dan lain-lain faktor.

 

Dalam memahami tingkah laku pasaran serta perubahan pergerakan harga dan jumlah dagangan dalam pasaran saham, situasi ini dapat dikaitkan dengan salah satu hukum fizik yang merujuk kepada Newton’s Laws of Motion.

 

Newton’s Laws of Motion

Newton’s Laws of Motion adalah teori yang diperkenalkan oleh Isaac Newton yang menerangkan hubungan antara gerakan objek dan kuasa-kuasa yang bertindak ke atasnya. Newton’s Laws of Motion terdiri daripada tiga kenyataan dan boleh dipermudahkan seperti berikut:

 

Eksponen

 

Gerakan Newton dan Teknikal Analisis!

Undang-undang gerakan pertama Newton menyatakan bahawa objek tidak boleh bermula, berhenti atau mengubah arah dengan sendirinya. Ia memerlukan daya, kuasa atau tindakan yang memaksa objek untuk mengubah pergerakannya.

 

Kecenderungan untuk menentang perubahan dalam keadaan ini dikenali sebagai inertia. Hukum ini juga dikenali sebagai Law of Inertia. Maksudnya di sini, jika tiada daya bersih yang terhasil daripada daya tidak seimbang yang bertindak pada objek, objek itu akan mengekalkan halaju malar.

 

Jika halaju objek itu sifar, maka objek itu akan kekal berehat atau tidak bergerak. Dan jika terdapat daya luaran tambahan digunakan, halaju objek yang sedang bergerak itu akan berubah kerana daya dan tindakan yang dikenakan ke atasnya.

 

Umpama sebuah kenderaan yang sedang bergerak pada kelajuan 110km/j menyusuri lebuh raya yang lurus dan tiba-tiba ada kemalangan yang baharu sahaja berlaku di hadapannya.

 

Kejadian ini memaksa pemandu bertindak untuk memperlahankan kenderaan dan mengubah arah atau menyebabkan pemandu terpaksa memberhentikan kenderaan kerana kemalangan itu telah menutup hampir keseluruhan laluan.

 

Eksponen

 

Jika dilihat dari konteks pasaran saham, perubahan harga saham yang berada dalam pergerakan menaik akan terus menaik jika sentimen keseluruhan pasaran adalah positif dan seterusnya akan mula memasuki fasa penyatuan atau pergerakan perlahan kerana tiada tindakan atau kuasa yang boleh mendorong pedagang dan pelabur untuk terus membeli.

 

Sekiranya terdapat perubahan sentimen, ia bertukar menjadi negatif yang disebabkan oleh keadaan ekonomi yang semakin tenat atau faktor-faktor lain yang memaksa pedagang dan pelabur untuk melepaskan pegangan mereka. Apabila ini terjadi, perubahan pergerakan akan berlaku dan menyebabkan harga saham mula menurun.

 

Kuasa Gajah Adalah Segalanya!

Undang-undang kedua Newton mengatakan bahawa pecutan berlaku apabila daya bertindak pada objek.  Dan ia juga menyatakan bahawa semakin besar jisim objek yang dipercepatkan, semakin besar jumlah daya yang diperlukan untuk mempercepatkan objek tersebut.

 

Dalam pasaran saham, pedagang dan pelabur diklasifikasikan kepada dua kategori sama ada sebagai pedagang dan pelabur runcit atau pedagang dan pelabur institusi. Dalam pergerakan harga menaik ataupun menurun, untuk harga terus menerus menaik atau menurun, amatlah sukar jika tindakan ini hanya dilakukan oleh pedagang dan pelabur runcit.

 

Pecutan ini memerlukan daya dan kuasa dari pedagang dan pelabur institusi. Ibarat tikus dan gajah melangkah ke kolam renang. Apabila tikus melangkah ke kolam renang, paras air akan mula naik tetapi dalam kadar sedikit dan apabila tikus melangkah keluar dari kolam, paras air akan kembali berkurangan. Berbanding dengan gajah, apabila gajah melangkah ke kolam renang, paras air akan meningkat dengan ketara dan jika gajah keluar dari kolam paras air juga berkurangan secara ketara.

 

Eksponen

 

Di sini, tikus boleh diibaratkan sebagai pedagang dan pelabur runcit manakala gajah boleh diibaratkan sebagai pedagang dan pelabur institusi. Kolam pula merujuk kepada pasaran saham dan paras air kolam menunjukkan pergerakan naik-turun harga saham.

 

Ini menunjukan bahawa pecutan harga akan berlaku apabila wujudnya daya dan kuasa (pembelian dan penjualan secara besaran dalam kuantiti yang banyak) dari pedagang dan pelabur institusi kerana mereka mempunyai sumber dana yang tidak terhad untuk membuat perdagangan dalam kuantiti yang tinggi.

 

Oleh kerana jumlah dagangan besar berada di tangan mereka, sebarang keputusan yang mereka lakukan sudah pasti mempunyai pengaruh besar terhadap pergerakan harga saham di pasaran. Sebaliknya, pengaruh pedagang dan pelabur runcit terhadap harga saham adalah bertentangan, kesannya adalah minimum.

 

Tindakan dan Reaksi

Undang-undang gerakan ketiga Newton pula menceritakan tentang tindakan dan reaksi. Untuk setiap tindakan, akan terdapat reaksi yang sama dan bertentangan. Kenyataan ini bermaksud bahawa dalam setiap interaksi, terdapat sepasang kuasa yang bertindak pada kedua-dua objek yang berinteraksi.

 

Saiz daya pada objek pertama adalah sama dengan saiz daya pada objek kedua. Apabila satu objek memberikan daya pada objek kedua, objek kedua pula akan memberikan daya yang sama dan bertentangan pada objek pertama.

 

Eksponen

 

Dalam erti kata lain, daya terhasil daripada interaksi. Tindakan dan reaksi ini dapat dikaitkan dengan teori asas analisis teknikal iaitu Teori Dow.

 

Dalam memahami dan menganalisis tingkah laku pasaran, bersandarkan kepada siri kajian, Charles Dow percaya bahawa harga saham bergerak dalam gelombang atau trend. Dia percaya bahawa harga saham bergerak dalam gelombang atau trend, sama seperti apabila ombak terhempas ke pantai dan meninggalkan corak di pasir untuk menunjukkan di mana air pasang tinggi dan rendah berlaku.

 

Satu lagi teori yang boleh dikaitkan adalah Teori Elliott Wave. Secara ringkasnya, pergerakan harga menaik atau menurun berlaku dalam lima gelombang yang dipanggil sebagai gelombang motif.

 

Gelombang motif ini adalah tindakan daripada pedagang dan pelabur yang memulakan trend. Manakala sebarang pembetulan terhadap trend merujuk kepada tiga gelombang yang dipanggil gelombang pembetulan.

 

Gelombang pembetulan adalah reaksi daripada gelombang motif yang menghasilkan pergerakan secara bertentangan. Reaksi ini berlaku apabila ada sebilangan pedagang dan pelabur telah mencapai objektif perdagangan mahupun pelaburan atau telah mendapat keuntungan yang telah ditetapkan.

 

Tidak terhad kepada objektif, sentimen pasaran juga memainkan peranan dalam memahami hubungan antara tindakan dan reaksi, di mana apabila sebuah syarikat pegangan awam mengumunkan keuntungan yang lebih baik berbanding tahun lepas, akan ada pedagang dan pelabur yang akan terus membeli saham dan menyebabkan harga saham naik.

 

Begitu juga apabila sentimen negatif mula membanjiri media masa dan ini menyebabkan harga saham mula menurun. Tindakan dan reaksi ini adalah kebiasaan dalam pasaran saham kerana lumrah manusia yang akan bertindak dan memberi reaksi berdasarkan sesuatu yang berlaku atau boleh dirujuk sebagai psikologi pasaran.

 

Eksponen

 

Kebetulan?

Adakah Newton’s Laws of Motion mempunyai hubung kait dengan tingkah laku pasaran serta perubahan pergerakan harga dan jumlah dagangan dalam pasaran saham? Jika dikaji dengan lebih lanjut, jawapannya adalah YA!

 

Boleh dikatakan yang analisis teknikal mempunyai hubung kait dengan Newton’s Laws of Motion di mana hukum gerakan Newton boleh digunakan dalam memberi kefahaman tentang daya, kuasa, tindakan dan reaksi yang menyebabkan perubahan pergerakan harga dan jumlah dagangan dalam pasaran saham. 

 

Kebetulan ataupun tidak, tidak dinafikan yang analisis teknikal meminjam sebahagian daripadanya (Newton’s Laws of Motion) untuk membuktikan tingkah laku pasaran, perubahan harga dan pergerakan pasaran dalam bahasanya tersendiri. 

 

Isaac Newton

 

Memetik kata Isaac Newton:

"Untuk menjelaskan semua adalah tugas yang sukar bagi mana-mana orang bahkan tidak mengenal usia. Lebih baik melakukannya sedikit dengan pasti dan tinggalkan selebihnya untuk orang lain daripada menjelaskan semua perkara dengan tekaan tanpa memastikan apa-apa perkara”.  - DagangNews.com

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONENA

Portfolio Tags