Bersama banteras pemalsuan sijil digital vaksinasi (SURAT PEMBACA) | DagangNews Skip to main content

Bersama banteras pemalsuan sijil digital vaksinasi (SURAT PEMBACA)

 

Saudara Pengarang,

 

BARU-BARU ini rakyat tersentak oleh permasalahan sosial yang dicetuskan oleh sebilangan kecil rakyat yang bertindak mementingkan diri iaitu memalsukan kad digital vaksin atas tujuan menikmati kelebihan individu yang telah lengkap menerima dua dos vaksin.

 

Persoalannya, apakah langkah yang bakal diambil oleh kerajaan untuk membanteras pemalsuan kad digital lengkap dua dos vaksinasi ini? Tiada ubat yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh dibasmi hingga ke akar umbi.

 

Dalam konteks ini, pada mata kasar rakyat Malaysia, empat organisasi gergasi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta CyberSecurity Malaysia perlu berganding bahu untuk memulakan langkah pertama dalam mencegah isu pemalsuan kad digital vaksinasi.

 

Sebagaimana kita sedia maklum, pihak KKM bertindak sebagai peneraju utama dalam menetapkan pembahagian dos vaksin. Bertitik tolak daripada itu, KKM sebaik-baiknya perlu menyemat integriti dalam sanubari setiap petugas dan sukarelawan agar mereka menjalankan amanah yang diberi dengan lancar.

 

Soal integriti tidak boleh diambil lewa kerana amanah yang dipikul amat berat dan sekiranya dipandang enteng, bakal berlaku penyelewengan seperti isu yang telah pun berlaku kepada segelintir rakyat Malaysia.

 

Terdapat beberapa kes yang telah menjadi buah mulut netizen di mana petugas yang mengendalikan suntikan vaksin telah memberi suntikan daripada picagari kosong kepada penerima vaksin.

 

Isu ini telah menconteng arang ke muka petugas-petugas KKM yang lain. Walaubagaimanapun, semangat sebahagian besar rakyat Malaysia tetap terus jitu memberi kerjasama untuk menghadiri setiap temu janji yang telah ditetapkan walaupun hati mereka amat risau dengan situasi penipuan suntikan vaksin berkenaan.

 

Memandangkan keadaan yang sedemikian, rata-rata petugas vaksinasi akan meminta setiap individu untuk melihat kandungan picagari dan memastikan sendiri bahawa picagari itu memang mempunyai cecair vaksin sebelum mereka disuntik.

 

Malah, mereka dibenarkan untuk mengambil gambar atau video sebagai bukti yang lebih kukuh mahupun sekadar mahu dijadikan kenangan.

 

Rentetan itu, rakyat Malaysia percaya orang yang terlibat dengan penyelewengan tersebut sudah pun dibawa ke muka pengadilan. Tuntasnya, integriti itu kunci azimat melaksanakan amanah yang digalas dengan penuh tanggungjawab.

 

 

vaksin

 

 

Di samping itu, apabila rakyat sudah disemai nilai murni, maka mereka akan menerapkan nilai ini melalui tindak tanduk yang penuh integriti.

 

Maka, perkara ini bakal memudahkan pihak SKMM serta CyberSecurity Malaysia untuk melaksanakan tanggungjawab membanteras penyelewengan kad digital vaksin.

 

Sebagai contoh, langkah pertama boleh dimulakan dengan kerajaan mengenakan tindakan mahkamah dan saman dengan jumlah sekurang-kurangnya RM100,000.00 atau penjara 2 tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan untuk mana-mana individu, syarikat, isi kandungan laman web atau mana-mana agensi yang menjual kad digital vaksin secara terang-terangan mahupun di bawah meja.

 

Nilai saman juga perlu dinaikkan lima kali ganda untuk setiap kesalahan yang sama untuk seterusnya.

 

Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa nilai saman yang dicadangkan untuk dikenakan ini tidaklah begitu tinggi nilainya jika dibandingkan dengan harga nyawa atau kesihatan masyarakat yang hidup dalam keadaan tertekan akibat pandemik ini.

 

Dengan kata lain, fenomena pemalsuan kad digital vaksin perlu dikekang segera sebelum ia merebak seperti barah untuk menjamin kemashalatan masyarakat majmuk negara kita.

 

Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membantu melaporkan mana-mana kegiatan pemalsuan kad digital vaksin kepada pihak yang bertanggungjawab. Setiap pelapor juga akan dirahsiakan identitinya demi menjamin keselamatan mereka.

 

Soalnya bilakah kempen membanteras pemalsuan kad digital vaksin mahu digerakkan? Negara kita sememangnya sedang bergelut untuk memulihkan sektor ekonomi dan kita juga sedang menuju kepada kadar peratusan maksimum untuk program vaksinasi seluruh penduduk di negara ini.

 

BACA : 10 individu didakwa di mahkamah palsukan sijil suntikan vaksin

 

Penulis dapat rasakan pasti ada pihak yang cuba menangguk di air keruh demi mengaut keuntungan yang tidak setimpal dengan akibat yang bakal menimpa mereka nanti.

 

Marilah kita bertindak secepat mungkin. Sebagai menutup tirai bicara, lebih baik kita seawal mungkin membanteras pemalsuan kad digital vaksin ini kerana bak kata bidalan, mencegah lebih baik daripada merawat. – DagangNews.com

 

 

Daripada,
Nurul Zamratul Asyikin Ahmad dan Roszi Naszariah Naseri binti Nasni

Alor Gajah, Melaka.