Berniaga kampung pun mesti ada strategi perniagaan | DagangNews Skip to main content

Berniaga kampung pun mesti ada strategi perniagaan

oleh Nur Zahirah Aribah Marzuki

MEMILIKI strategi yang bagus merupakan langkah yang utama bagi setiap bidang tidak kira bidang perniagaan mahupun bidang lain.

 

Strategi adalah pendekatan jangka panjang dan berpandangan ke depan serta rancangan permainan bagi keseluruhan organisasi terutamanya perniagaan.

 

Tujuan strategi dalam bidang perniagaan adalah untuk mencapai kelebihan daya saing yang mapan dengan memahami keperluan dan kehendak pelanggan.

 

Walau bagaimanapun masih ada segelintir usahawan yang tidak menitik beratkan tentang strategi dalam perniagaan. Bagi mereka, cukup sekadar mempromosikan di laman sosial dan kemudian mendapat sejumlah jualan sudah mencukupi.

 

Terdapat ramai usahawan yang melompat-lompat perniagaan iaitu membuat satu perniagaan kemudian membuat perniagaan yang lain disebabkan oleh perniagaan sebelumnya itu mengundang masalah.

 

Oleh kerana mereka tidak dapat bertahan dalam perniagaan tersebut, maka mereka menutup perniagaan yang sedia ada dan membuka perniagaan lain pula, dengan harapan perniagaan baru adalah lebih serasi dan boleh membawa keuntungan.

 

Memang benar terdapatnya aspek keserasian di dalam perniagaan iaitu jenis perniagaan yang sesuai.

 

Namun, usah terus berfikiran bahawa keserasian memainkan peranan yang utama dalam kejayaan perniagaan.

 

 

parafrasa

 

 

Masalah seperti ini sering berlaku kepada para usahawan kerana mereka tidak mempunyai “pendekatan perniagaan” yang khusus.

 

“Pendekatan perniagaan” merupakan strategi terpenting yang perlu ada pada setiap usahawan.

 

Apa yang dimaksudkan dengan pendekatan perniagaan ialah terdapatnya satu fenomena yang menunjukkan bahawa setiap usahawan mempunyai pendekatan perniagaan yang unik dan berlainan.

 

Bukan semua usahawan perlu membina model perniagaan yang sama dan seterusnya menjalankan operasi perniagaan yang sama.  Ada segelintir usahawan yang mempunyai pendekatan perniagaan yang berbeza.

 

Dalam kata lain, usahawan tersebut boleh menjalankan perniagaan yang pelbagai dan tidak perlu melompat dari satu perniagaan kepada perniagaan yang lain.

 

Terdapat banyak cara untuk membina “pendekatan perniagaan”. Antaranya ialah:

  • Pembungkusan produk yang menarik dan lain dari yang lain
  • Menguasai pemasaran digital seperti di Tiktok, Twitter dan Instagram
  • Tawarkan promosi
  • Menjadi Penaja Program
  • Menghasilkan barangan yang berkualiti

 

Di dalam perihal pendekatan kepelbagaian perniagaan, masalah tidak mempunyai keserasian dalam perniagaan bukanlah satu isu besar, tetapi masalah bagaimana untuk menjalankan pelbagai perniagaan pada satu masa yang sama dengan berkesan merupakan isu terpenting dan sangat perlu dititikberatkan.

 

la memerlukan perbincangan yang mendalam bagi mengenal pasti bentuk dan model pendekatan yang sesuai dengan keupayaan dan kesesuaian seseorang usahawan itu juga.

 

Tiada satu formula asas yang digunakan sebaliknya menggabungkan beberapa faktor bagi membolehkan seseorang usahawan itu melaksanakan kepelbagaian perniagaan.

 

Fenomena sebegini sememangnya wujud dan ia sangat unik. Bagi mereka yang telah memahami strategi menguruskan perihal tersebut, maka perniagaan apa jua sekalipun dapat mereka jalankan dengan baik.

 

Contoh pendekatan kepelbagaian perniagaan adalah seperti usahawan Tan Sri Syed Mokhtar, Sir Richard Branson dan Bernard Arnaud. Bagi usahawan seperti mereka, perihal fokus bukan keutamaan mereka.


 

parafrasa

 


Mungkin pada mereka kelangsungan perniagaan adalah perihal yang utama walau dalam apa jua cara yang diperlukan. 

 

Kemahiran mereka mempelbagaikan dan seterusnya mengaitkan setiap komponen perniagaan yang membolehkan mereka membina sebuah empayar perniagaan yang besar dan berpengaruh. 

 

Walaupun kita cuma sekadar menjalankan perniagaan kampung, namun kita boleh juga mengaplikasikan kaedah yang serupa dalam skala yang sesuai dengan keupayaan kita.

 

Usahawan yang tidak berapa mahir lagi dalam soal ini bukanlah gagal dan beliau tidak sepatutnya gagal kerana jika beliau dapat membetulkan sistem pendekatan perniagaannya itu kepada pendekatan kepelbagaian perniagaan maka beliau dapat meneruskan perniagaannya dengan baik.

 

Walau bagaimanapun, jika usahawan tersebut tidak berupaya lagi meneruskan konsep pendekatan kepelbagaian perniagaan dan mahu menumpukan kepada satu atau dua perniagaan sahaja, maka ia boleh juga dibuat kepelbagaian secara mikro atau berskala lebih kecil iaitu memberi fokus kepada komponen perniagaan sahaja.

 

 

parafrasa

 

 

Tidak semestinya pendekatan kepelbagaian perniagaan memerlukan kita mempunyai banyak jenis perniagaan. 

 

Apa yang penting adalah mencipta suasana dan sistem kepelbagaian sama ada dari aspek produk, sistem jualan, pakej perkhidmatan dan seumpamanya.

 

Bagi memulakan pendekatan kepelbagaian perniagaan, tentu sekali seseorang usahawan itu perlu mengetahui hala tuju dan sasaran yang berkesan. 

 

Di samping mengenal pasti arah perniagaan yang boleh dilakukan secara pelbagai, beberapa kaedah lain boleh dibina supaya usahawan itu dapat menguruskan kepelbagaian perniagaan secara serasi.

 

Dengan kata lain, menjalankan pendekatan kepelbagaian perniagaan adalah rumit dan sukar pada permulaannya melainkan kita sudah mengenal pasti peraturan dan susunan yang sesuai dan apabila perniagaan itu sesuai dapat berjalan dengan baik, maka kita pula yang menentukan masa untuk menguruskannya pula. – DagangNews.com

 

Nur Zahirah Aribah Marzuki adalah pelajar Komunikasi Media Baharu, Universiti Sains Islam Malaysia, USIM