Beri insentif kepada pengeluar makanan tempatan bagi atasi harga meruncing | DagangNews Skip to main content

Beri insentif kepada pengeluar makanan tempatan bagi atasi harga meruncing

Kenaikan harga barangan dan makanan seperti ayam dan sayur-sayuran adalah disebabkan oleh masalah bekalan baja dan dedak ayam
Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 7 Julai - Kenaikan harga makanan asas yang semakin meruncing dan isu keselamatan makanan negara memerlukan kerajaan untuk menyelaras semula dasar pertanian negara dan pada masa yang sama bertindak lebih agresif untuk meningkatkan pengeluaran makanan bagi mengurangkan kebergantungan kepada import makanan, kata penganalisis kanan BowerGroupAsia, Mohd Hafidzi Mohd Razali.

 

Beliau berkata, bagi menangani isu ini dalam jangka masa pendek, kerajaan seharusnya melihat kepada syarikat pengeluar bahan makanan tempatan yang sedia ada dan memberikan insentif secara terus bagi membolehkan mereka meningkatkan kapasiti serta menyumbang kepada rantaian bekalan negara dalam tempoh masa yang singkat.

 

"Banyak syarikat tempatan yang boleh menyumbang kepada rantaian bekalan dan mereka boleh meningkatkan skala pengeluaran dengan kadar segera sekiranya kerajaan boleh menyediakan geran, pinjaman fleksibel, membuka tanah milik kerajaan yang terbiar, memudahkan penggunaan teknologi, menambah baik capaian logistik.

 

"Pada masa yang sama, kerajaan seharusnya mengambil kira petani tidak formal di dalam persamaan ini untuk bekerjasama.

 

“Pakej sokongan yang sihat harus dipertimbangkan memandangkan Malaysia sudah pun dikurniakan iklim yang baik dan tanah yang subur," beliau memberitahu DagangNews hari ini.

 

Sementara itu, menurut statistik Jabatan Pertanian, sektor pertanian menyumbang sebanyak 28.8 peratus kepada jumlah keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada tahun 1970 dan 22.9 peratus pada tahun 1980.

 

Namun begitu, pada 1990 sektor itu (16.3 peratus syer) telah diatasi oleh sektor pembuatan (24.6 peratus) berikutan kemajuan sektor pembuatan yang mencerminkan kejayaan Pelan Induk Perindustrian Malaysia – Fasa 1.

 

Sehingga 2020, bahagian pertanian berada pada 7.4 peratus daripada keseluruhan KDNK dan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, bahagian sektor pertanian Malaysia dalam ekonomi adalah agak kecil berbanding negara jiran seperti Indonesia (13.7 peratus pada 2020) dan Thailand (8.6 peratus pada 2020).


 

Mohd Hafidzi Mohd Razali
Mohd Hafidzi Mohd Razali


 

Mohd Hafidzi turut mengatakan kenaikan harga barangan dan makanan seperti ayam dan sayur-sayuran adalah disebabkan oleh masalah bekalan baja dan dedak ayam dan ini harus diambil kira.

 

"Bagi tempoh jangka sederhana, kerajaan harus membandingkan perbezaan kualiti antara makanan dan dedak ayam tempatan dan import dan mengenal pasti langkah-langkah untuk mengisi jurang tersebut.

 

“Apabila perbezaan telah difahami, usaha harus disalurkan ke arah meningkatkan pengeluaran tempatan.

 

"Lagipun, ia bukan sahaja untuk mampu mempertingkatkan hasil tempatan, tetapi juga menghasilkan barangan tempatan yang akan diterima pasaran sebagai pengganti barangan import yang berkualiti," jelas beliau lagi.

 

Hafidzi turut berkata dengan mengurangkan pergantungan negara pada import, Malaysia akan dapat mengawal kos dan pengeluaran dengan lebih berkesan - justeru mengurangkan kesan risiko luaran seperti perang Ukraine-Rusia, gangguan rantaian bekalan, inflasi global dan sebagainya.

 

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan dan industri baja mempertimbangkan penyelarasan pembelian makanan ayam dan baja secara pukal untuk mengurangkan kos pembelian.

 

"Sistem storan yang boleh dipercayai juga diperlukan dan pembelian lanjutan boleh di buat untuk melindung nilai daripada turun naik harga pada masa hadapan," ujar beliau. – DagangNews.com