Bekalan air terputus lagi, penduduk Selangor, KL sakit hati | DagangNews Skip to main content

Bekalan air terputus lagi, penduduk Selangor, KL sakit hati

gangguan bekalan Air Selangor

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Bagai tiada kesudahan, sebanyak tujuh wilayah di Selangor dan Kuala Lumpur sekali lagi mengalami gangguan bekalan air bermula pukul 6 petang hari ini.

Tujuh wilayah yang terlibat adalah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) dalam satu kenyataan berkata, gangguan bekalan tersebut berpunca daripada pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor.

"Lanjutan pengumuman daripada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berhubung pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor, Air Selangor ingin memaklumkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor pada jam 12.45 tengahari, 10 November 2020. 

"Sehingga jam 2.30 petang ini, pencemaran di Muka Sauk LRA Rantau panjang pada tahap 8 TON dan LRA SSP1,2 dan 3 pula pada tahap 4 TON," jelas Air Selangor.

Henti tugas keempat-empat loji berkenaan akan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun merangkumi 1,279 kawasan di tujuh wilayah berkenaan.

Mengulas lanjut, Air Selangor memberitahu, usaha untuk mencairkan bahan pelarut dan 'flushing' bahan pencemaran yang terdapat di dalam Sungai Selangor telah dilakukan dengan melepaskan air dari Empangan Sungai Selangor sebanyak 300 juta liter sehari dan empangan Sungai Tinggi sebanyak 500 juta liter sehari. 

Selain itu, LUAS juga telah melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam KL Larut dengan kapasiti 192 juta liter sehari untuk tujuan yang sama.

Masalah yang tiada kesudahan melibatkan pencemaran Sungai Selangor itu mendapat respon balas ramai penduduk di media sosial.

 

 Antara respon orang ramai di laman Facebook Air Selangor hari ini.
Antara respon orang ramai di laman Facebook Air Selangor hari ini.

 

Salah seorang pengguna laman Facebook menyatakan masalah berkenaan seolah-olah seperti kitaran haid yang selalu terjadi pada setiap bulan dan tepat pada waktunya.

Bagaimanapun, salah seorang pengikut laman Facebook Air Selangor turut meninggalkan komen balas dengan menyatakan kejadian tersebut berlaku ekoran tindakan pengusaha kilang yang tidak mempunyai rasa takut kepada kerajaan.

Jelasnya, pengusaha kilang berbuat sesuka hati tanpa bimbang terhadap saman dan denda yang akan dikenakan oleh kerajaan.

"Ini menunjukkan bahawa pengusaha kilang² tidak takut dgn kerajaan...mereka boleh buat sesuka hati tanpa rasa bimbang atau takut kena saman atau sitar..ada duit boleh bayar..berapa pun jumlah saman small master buat mereka.

"Yang makan rasuah pun dah tak heran sbb dah penuh poket boleh bercuti ke tempat yg ada air...good job...haaaa tepuk," tulisnya di laman Facebook Air Selangor hari ini. - DagangNews.com