Banyak syarikat Belgium berminat melabur teknologi hijau di Sarawak – Flanders | DagangNews Skip to main content

Banyak syarikat Belgium berminat melabur teknologi hijau di Sarawak – Flanders

Bandar raya Kuching, Sarawak dari pandangan udara. Gambar ihsan Sarawak Tourism Board
Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

KUALA LUMPUR 4 Feb – Banyak syarikat Belgium berminat membawa masuk lebih banyak teknologi hijau dan bersih ke Sarawak, kata Penasihat Ekonomi, Pelaburan & Perdagangan Flanders Investment and Trade (FIT) di Malaysia, Thomas Bernthaler.

 

Bernthaler berkata, FIT baru sahaja mengadakan seminar mengenai peluang melabur di Sarawak dan mendapat maklum balas positif syarikat-syarikat dari Belgium. 

 

“Ini adalah salah satu perkara yang mereka sangat inginkan di sana. Jadi, kami pada asasnya memasarkan Malaysia sebagai destinasi pilihan.

 

“Kami akan mengadakan susulan untuk mendapatkan delegasi fizikal ke Sarawak,” katanya ketika ditemubual oleh DagangNews.com di sini hari ini.

 

Bernthaler yang telah menetap di sini lebih 15 tahun lalu berkata, FIT adalah seperti Matrade di Malaysia.

 

“FIT membantu syarikat dari Flanders yang merupakan sebuah negeri di Belgium untuk berkembang ke seberang laut termasuk menerokai rantau ASEAN.

 

''Kami membantu syarikat mengembangkan penjualan produk mereka ke luar negara atau mencari rakan kongsi atau menubuhkan ibu pejabat serantau,” katanya.

 

Oleh itu, Bernthaler menggesa pelabur asing terutama dari Eropah menggunakan Malaysia sebagai pintu masuk strategik untuk mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran ASEAN.

 

''Malaysia ialah lokasi paling ideal untuk menubuhkan Ibu Pejabat Serantau atau hab pengedaran Serantau.

 

“Selain sebuah negara yang stabil dan mempunyai infrastruktur yang baik, Malaysia mempunyai pasaran kelas pertengahan serta mempunyai kuasa beli yang baik. Ini sudah tentu ini adalah tempat yang sesuai untuk menubuhkan ibu pejabat serantau atau hab pengedaran,” ujarnya.

 

 

Bernthaler
                                                    Thomas Bernthaler

 

Bernthaler berkata, selain mempunyai institusi mesra perniagaan seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Malaysia mempunyai tenaga kerja mahir yang cekap dan fasih menguasai bahasa Inggeris.

 

Katanya, Malaysia mempunyai kesemua aspek yang diperlukan oleh pelaburnya untuk terus maju ke hadapan dan ini adalah antara faktor negara ini kekal sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan asing terutama dari Eropah.

 

“Infrastruktur pengangkutan udara dan laut serta keseluruhan logistik adalah baik. Dengan adanya pelabuhan yang baik untuk membawa masuk barang, pelabur boleh jadikan Malaysia hab pengedaran.

 

“Sebagai contoh, pelabur boleh gunakan Pelabuhan Kuantan yang merupakan sambungan hebat ke China, oleh mengedar barangan mereka ke negara itu, ujar Bernthaler.

 

Dengan iklim ekonomi dunia maju yang tidak menentu disebabkan pandemik COVID-19, para pelabur kini terpaksa mengalih perhatian mereka kepada negara ekonomi membangun bagi mengembangkan peluang perniagaan mereka.

 

Berikutan COVID-19, Bernthaler berkata ia telah menyukarkan kemasukan pelabur ke sini berbanding sebelum ini.

 

“Ia sudah tentu sangat ketara dalam dua tahun lepas di mana tidak ramai orang boleh datang tetapi kebanyakan syarikat Eropah melihat kepada pelaburan jangka panjang.

 

“Maksud saya perniagaan akan kembali rancak dan mereka sudah merancang untuk kembali ke sini,” kata Bernthaler.

 

flanders

 


Pada bulan September lepas, kami mempunyai delegasi  20 syarikat yang  berkomunikasi secara maya dengan syarikat di Malaysia.

 

“Kami menganjurkan padanan perniagaan dalam talian lebih 90 syarikat Malaysia dengan syarikat Belgium dan minatnya sangat besar.

 

“Jelas sekali, semua orang mahu datang ke Asia. Masih ramai yang berminat untuk masuk ke pasaran dan mencari tempat yang stabil untuk menubuhkan ibu pejabat serantau mereka dan Malaysia sudah tentu negara yang stabil,” jelas beliau.

 

“Delegasi kami pada September tahun lepas sepatutnya berbentuk fizikal tetapi disebabkan COVID, kami tidak dapat membawa masuk 20 syarikat itu. Ini kerana ia melibatkan ramai orang dan banyak logistik. Akhirnya kami akan membawa masuk delegasi fizikal tahun ini.

 

Terdapat 150 syarikat dari Belgium beroperasi di sini yang mana 100 adalah dari Flanders. Antaranya ialah syarikat pengeluar makanan.

 

Pelabur terbesar dari Belgium ialah Barry Callebaut Group, pengeluar terkemuka dunia bagi produk coklat dan koko berkualiti tinggi. DagangNews.com