Banteras rokok seludup bukan masalah KKM? | DagangNews Skip to main content

Banteras rokok seludup bukan masalah KKM?

Penyeludupan masih menjadi masalah besar negara. - Gambar ihsan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
oleh RAYMOND SIDI

PADA 2 Ogos lalu, Dewan Rakyat meluluskan usul supaya Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang menyasar melahirkan Akta Generasi Penamat (GEG) bagi merokok menjelang tahun 2040 dirujuk ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

 

Jawatankuasa itu, yang dianggotai 13 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, dipengerusikan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

 

Khairy berkata ini  bagi membolehkan jawatankuasa itu membuat syor-syor untuk meneliti bahagian penguatkuasaan  dalam rang undang-undang tersebut dan mencadangkan sebarang penambahbaikan sekiranya perlu tertakluk kepada undang-undang yang berkuat kuasa.

 

Pada masa sama, meneliti fasal  berhubung penalti bagi kesalahan,  cadangan penambahbaikan oleh Ahli Dewan Rakyat dan menyediakan suatu penyata mengandungi cadangan penambahbaikan bagi tujuan kawal selia produk tembakau, bahan merokok, produk pengganti tembakau atau peranti merokok dalam tempoh sebulan.

 

Baru-baru ini, kerajaan telah menunjukkan terdapat peningkatan kompaun yang dikeluarkan. Ia jelas bermakna masih ramai orang sama ada tidak faham atau tidak tahu tentang undang-undang semasa.

 

Lebih-lebih lagi, ia menimbulkan persoalan, bolehkah KKM mengekalkan momentum itu secara berkala atau hanya melakukannya kerana menteri berminat untuk meluluskan rang undang-undang. Apa cerita bila menteri bertukar?

 

Inilah faktor menyebabkan banyak pihak menyuarakan bantahan dan kebimbangan bahawa rang undang-undang yang dibawa oleh Menteri Kesihatan  tidak bersifat menyeluruh dan lebih merisaukan, ketika matlamat menghentikan tabiat merokok, isu sedia ada iaitu rokok seludup tidak ditangani dengan baik.

 

Penyelidik pasaran strategik terkemuka, Euromonitor International telah meletakkan Malaysia sebagai pasaran tembakau haram nombor satu di dunia.


 

parafrasa

 


Situasi ini dijangka menjadi lebih teruk kerana peningkatan inflasi dan harga makanan akan menyebabkan perdagangan haram ini lebih menguntungkan mereka yang terlibat.

 

Apa yang dikhuatiri dasar GEG ini hanya memenuhi satu matlamat iaitu menghentikan tabiat rokok pada generasi baru tetapi masalah sedia ada berat iaitu penyeludupan rokok, tidak diberi perhatian oleh Kementerian Kesihatan.

 

Atau masalah itu bukan masalah KKM? Itu masalah kementerian lain, biar kementerian lain uruskan. Begitu?

 

Ancaman sebenar rokok haram

Menurut kajian bebas sebuah badan pemikir, Datametrics Research and Information Sdn Bhd (DARE), dasar GEG akan menyaksikan peningkatan perdagangan haram daripada 58.4% pada Mac 2022 kepada 61.7%, mengakibatkan saiz pasaran haram meningkat kepada RM8.7 bilion.

 

Pengarah Urusan DARE, Pankaj Kumar berkata, "Melarangkan penjualan rokok tidak akan berhasil dalam mengurangkan kelaziman merokok. Langkah ini bukan sahaja akan membawa kepada peningkatan dalam pasaran rokok haram kepada RM8.7 bilion malah menguntungkan sindiket jenayah.

 

Hampir 6 daripada 10 bungkus rokok yang dijual di Malaysia adalah diseludup.

 

“Walaupun dalam Bajet 2021, kerajaan telah menetapkan lima pelabuhan utama sebagai titik pemindahan untuk perdagangan produk tembakau, ia tidak menghentikan aktiviti penyeludupan,” kata Pankaj.

 

Di samping itu, undang-undang sedia ada di bawah seliaan KKM seperti penetapan harga rokok minimum RM12, amaran kesihatan bergambar, larangan merokok di tempat awam dan merokok di bawah umur telah menemui kegagalan dalam pelaksanaannya yang membawa kepada peningkatan rokok seludup.


 

parafrasa

 


Apakah Kementerian Kesihatan merasakan mereka hanya perlu fokus kepada usaha menghentikan tabiat merokok kepada generasi baru itu sudah memadai, dan soal menangani rokok seludup bukan urusannya tetapi serah kepada pihak berkuasa lain?

 

Pendekatan yang salah terhadap masalah merokok

Malaysia sudah pun mengambil pendekatan menyahjenayah (decriminalization) dadah dan memberi lebih tumpuan kepada mendidik orang ramai dan memulihkan individu yang ketagihan.

 

Malah rokok mempunyai program khas di bawah kerajaan yang dipanggil MQuit, untuk membantu individu itu menghentikan ketagihan mereka terhadap nikotin.

 

Mentakrifkan pemilikan mana-mana tembakau atau peranti berkaitan vape sebagai perbuatan jenayah, akan menjadi `langkah mundur’ dalam dasar kerajaan dan akan menghalang individu yang ingin mendapatkan bantuan daripada tampil ke hadapan kerana takut terhadap dianiaya undang-undang GEG. - DagangNews.com

 

Raymond Sidi adalah pembaca DagangNews.com dan tulisan di atas adalah pandangan peribadi beliau yang tidak semestinya mencerminkan pendirian Editorial portal ini.