Bank selaraskan kenaikan BR, BLR sebanyak 25 mata asas | DagangNews Skip to main content

Bank selaraskan kenaikan BR, BLR sebanyak 25 mata asas

KUALA LUMPUR 6 Julai - Bank-bank akan melaraskan kenaikan kadar asas (BR) dan kadar pinjaman asas sebanyak 25 mata asas (bps) susulan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) yang diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini. 

 

Dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) kali keempat tahun ini, ia memutuskan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 bps atau 0.25% kepada 2.25%.

 

Kenaikan itu adalah yang kedua berturut-turut tahun ini selepas BNM menaikkan OPR sebanyak 25 bps kepada 2.00% semasa mesyuarat terakhirnya Mei lalu. 

 

Dalam kenyataan, Maybank berkata, BR dan BLR akan dinaikkan sebanyak 25 bps berkuat kuasa 8 Julai 2022.

 

Ia menyaksikan BR akan dinaikkan daripada 2.00% setahun kepada 2.25% manakala BLR akan dilaras daripada 5.65% setahun kepada 5.90%. 

 

"Begitu juga, Kadar Asas Islam dan Kadar Pembiayaan Asas akan dinaikkan sebanyak 25 bps daripada 2.00% kepada 2.25% dan daripada 5.65% kepada 5.90% masing-masing.
 

"Sehubungan dengan penyelarasan itu, kadar deposit tetap Maybank dan Maybank Islamic juga akan diselaras naik berkuat kuasa 8 Julai ini," katanya.
 

Semakan terakhir dalam Kadar Asas Maybank adalah pada 13 Mei 2022 apabila ia dinaikkan daripada 1.75% kepada 2.00% berikutan kenaikan OPR dengan kuantum yang sama.

 

Sementara itu, Affin Bank Bhd, Affin Islamic Bank Bhd dan Affin Hwang Investment Bank akan menyemak semula kadar rujukan pinjaman/pembiayaan mereka sebanyak 25 bps atau 0.25%, berkuat kuasa 8 Julai 2022.

 

Menurut Affin Bank, berikutan pengumuman BNM menaikkan OPR kepada 2.25%, Kadar Deposit Tetap Affin Bank dan Kadar Deposit-i Berjangka Affin Islamic juga akan turut dinaikkan berkuat kuasa 8 Julai 2022.

 

RHB Banking Group turut menyemak semula BR dan Kadar Pinjaman/Pembiayaan Asas (BLR/BFR) yang naik sebanyak 25 mata asas berkuat kuasa 13 Julai 2022 selaras dengan kenaikan OPR.

 

RHB Bank Bhd, RHB Islamic Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd akan meningkatkan BR mereka kepada 3.00%  daripada 2.75% setahun.

 

Kumpulan itu juga akan menyemak semula BLR/BFR kepada 5.95% daripada 5.70% setahun. 

 

CIMB Bank Bhd dan  CIMB Islamic Bank Bhd akan menaikkan BR dan Kadar Deposit Tetap/Kadar Pendapatan Pulangan Tetap Account-i sebanyak 0.25%, berkuat kuasa 13 Julai, 2022.

 

“Berikutan kenaikan OPR ini, CIMB Bank dan CIMB Islamic akan menaikkan 25 bps dalam Kadar Asas dan Kadar Deposit Tetap/Kadar Pendapatan Pulangan Tetap Account-i - DagangNews.com