Bajet 2023 perlu realistik | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 27 August 2022

BAJET 2023 PERLU REALISTIK

Nanyang Siang Pao & Oriental Daily 26 Ogos 2022

 

 

 

MENTERI Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam satu kenyataan pada Jun baru-baru ini berkata kerajaan memperuntukkan sekitar RM730 juta menampung subsidi harga ayam dan telur bagi bulan Februari hingga Jun tahun ini.

 

Berikutan kenaikan kos produk pertanian, kerajaan kemudiannya telah menambahkan lagi subsidi tambahan sebanyak RM370 juta, jadi peruntukan subsidi tahun ini dijangka mencecah RM77.7 bilion. 

 

Berdasarkan jumlah besar subsidi yang diberikan kepada rakyat, harapan agar kerajaan dapat menggunakan wang rakyat di tempat yang sepatutnya, membantu mereka yang benar-benar memerlukan bukannya kepada golongan kayangan.

 

Dalam erti kata lain, subsidi sebenarnya boleh membantu golongan-golongan yang naik motosikal dan makan beras hancur. Bukannya untuk kemudahan golongan kayangan yang memandu kereta mewah dan makan beras wangi import.

 

Daripada jumlah RM77.7 bilion subsidi yang diberikan kerajaan kepada rakyat, selain Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) sebanyak RM2,500 setiap isi keluarga, sebahagian besar adalah untuk subsidi petrol sekitar RM5 bilion sebulan.

 

Cuba tanya berapa ramai kumpulan B40 mendapat manfaat tersebut?


 

apa

 


Mengikut perangkaan tahun 2020, Malaysia mempunyai 8.2 juta isi rumah. Jika RM77.7 bilion itu dibahagikan sama rata kepada 8.2 juta isi rumah, setiap rumah akan menerima sekurang-kurangnya RM9, 475. 

 

Jika kita mengecualikan 30% isi rumah yang tidak memerlukan subsidi, maka secara purata setiap isi rumah boleh menerima bantuan sekitar RM13, 536 iaitu lebih lima kali ganda daripada bantuan BKM sekarang iaitu RM2,500.

 

Jika tiada apa-apa halangan, Bajet 2023 akan dibentangkan pada 28 Oktober dengan tema, ‘Memperkukuh Pemulihan, Memudah Cara Pembaharuan Ke Arah Kemampanan Daya Tahan Ekonomi dan Kesejahteraan Keluarga Malaysia.’

 

PM Ismail Sabri berkata dalam ucapan penutupan Majlis Konsultasi Bajet 2023 bahawa kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada keterangkuman dan pembangunan mampan untuk meningkatkan persekitaran hidup yang selamat dan selesa.

 

Majlis Konsultasi Bajet 2023 bermula pada Jun lepas, pihak berkepentingan telah dijemput untuk memberi cadangan dan memorandum berkaitan dengan bajet.

 

Antaranya sebanyak 3,000 isu dan 2,000 cadangan yang dikemukakan. Ramai pihak berharap isu perniagaan dan social dapat diselesaikan melalui kaedah yang betul.


 

apa

 


Kementerian Kewangan juga kemudiannya melancarkan ‘Laman Khas Bajet’ bagi membolehkan orang ramai mengambil bahagian dan menjadikan proses penyediaan bajet yang lebih telus.

 

Oleh itu, Bajet merangkumi pelbagai isu dan bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan modal insan dan ekonomi negara, meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah, tetapi juga mengambil kira kebajikan dan bantuan kepada golongan B40, warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

 

Tanpa rancangan jangka panjang, sangat mudah untuk kehilangan fokus dan strategi untuk merawat gejala dan bukan kepada punca.

 

Ini kerana bantuan yang diberikan kepada golongan yang lemah akan terus mendapat ‘manfaat’, jadi lebih mudah untuk menanam sentimen ‘terima kasih’ dan terus menyokong kerajaan.

 

Walau bagaimanapun, bantuan jangka pendek ini hanya dapat menyelesaikan keperluan terdesak tetapi tidak dapat mencapai kemakmuran ekonomi yang berterusan.


 

apa

 


Amalan ini untuk jangka panjang akan makan diri sendiri, apabila rakyat tidak dapat lebih daripada yang diperlukan, mereka akan mengancam untuk menggulingkan kerajaan.

 

Sikap kompromi berterusan pasti akan merosakkan pembangunan jangka panjang dan lama-kelamaan kerajaan akan tumbang dengan sendirinya.

 

Sebagai contoh, peruntukan dan subsidi dalam Bajet 2022 pada asalnya ialah RM31 bilion. Namun disebabkan kenaikan harga barangan, kerajaan telah menambah peruntukan untuk menstabilkan harga dan meringankan beban perbelanjaan rakyat.

 

Akibatnya, subsidi dan bantuan sosial telah meningkat hampir RM77.7 bilion, jauh melebihi bajet asal. Mungkin ada yang bangga kerajaan mengambil tindakan yang betul, jika tidak inflasi tidak akan menjadi 2.5% hari ini sebaliknya 11.4%.

 

Jadi adakah peruntukan sebegini akan terus dikekalkan pada RM80 bilion pada tahun 2023 untuk menonjolkan kesombongan ‘Malaysia Boleh!’


 

apa

 


Kaedah ini ibarat mencuri loceng dengan menutup sebelah telinga, akibatnya pasti akan dirasai pada masa akan datang.

 

Tahun 2023, kita melangkah keluar dari bayang-bayang coronavirus dan melangkah ke era pasca wabak. Di bawah norma baharu, banyak ekonomi tradisional secara perlahan-lahan digantikan dengan model baharu.

 

Kita mesti melakukan pembaharuan dan mengukuhkan pemulihan. Walau bagaimanapun, harapan kepada kerajaan agar peruntukkan sumber tidak seharusnya tertumpu kepada ‘menjaga kesejahteraan keluarga Malaysia’ semata-mata.

 

Kerajaan seharusnya menangani cabaran pembangunan ekonomi jangka panjang. - DagangNews.com

 

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Nanyang Siang Pao dan Oriental Daily 26 Ogos 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags