Bagaimana Grab `lahir’ di Malaysia, terlepas ke Singapura? | DagangNews Skip to main content

Bagaimana Grab `lahir’ di Malaysia, terlepas ke Singapura?

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

 

PADA awal-awal membaca artikel mengenai penyenaraian Grab di papan Nasdaq New York yang disediakan oleh agensi berita ini, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia atau Bernama, semua kita pasti terdorong berasa bangga sebab ditulisnya `Segambut'.

 

Syarikat yang `menelan’ Uber di rantau ini, rupa-rupanya diasaskan di Malaysia oleh anak Malaysia. Tetapi bagaimana syarikat ini boleh bertapak di Singapura pula? Jadi wajarkah kita pun hendak `claimed’ Grab itu entiti negara ini?

 

Dan bagi yang masih segar ingatan, Grab juga menjadi `senjata’ dalam perang saraf parti pembangkang sebelum pilihan raya umum 2018 dengan menuduh kononnya `syarikat itu dimiliki oleh Datin Seri Rosmah Mansor’, isteri kepada perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Untuk memudahkan pemahaman anda kita bentangkan penceritaan menggunakan kaedah objektif iaitu bernombor.

 

  1. Penyenaraian

Berlangsung di Singapura, syarikat pengangkutan dan penghantaran yang berusia sembilan tahun itu mengumumkan penyenaraian di Nasdaq bernilai AS$40 bilion (kira-kira RM169.12 bilion) dengan jangkaan gergasi teknologi itu menjana AS$4.5 (RM18) bilion daripadanya.

 

Saham Grab diniagakan antara AS$8.13 dan SS$13.29 pada hari pertama dagangan. Kaunternya ditutup tidak berubah pada AS$8.75, turun 20.5% dengan 35.71 juta saham bertukar tangan.


 

grab
ANTHONY Tan (kanan) dan Tan Hooi Ling pada majlis penyenaraian Grab pada 2 Disember 2021.

 

  1. Anthony Tan

Anthony Tan merupakan pengasas Bersama Grab dengan Tan Hooi Ling, rakan satu universitinya di Sekolah Perniagaan Harvard.

 

Grab lahir daripada `kerja sekolah’ mereka. Pada awalnya, ia adalah idea bisnes untuk Pertandingan Pelan Perniagaan Harvard pada tahun 2011.

 

Tan dan Hooi Ling berkongsi cerita mengenai sistem teksi di Malaysia dan idea tercetus untuk Tan mendrafkan kaedah untuk membantu pelanggan tradisional teksi untuk mendapatkan kenderaan dengan mudah.


 

PM

 


Pendekatan Tan berbeza dengan syarikat Uber. Idea tersebut memenangi tempat kedua dan mereka adalah rakyat Asia pertama yang memenangi pertandingan seumpamanya.

 

Idea memulakan GrabTaxi tercetus apabila melihat sistem teksi Malaysia yang baginya agak tidak teratur dan bermasalah.

 

Pemandunya juga tidak dapat menjana wang yang cukup dan sering merungut mengenai pekerjaan mereka.

 

Kes-kes yang berkaitan dengan pemandu teksi juga menimbulkan rasa yang tidak selamat untuk penumpang wanita. Keinginan untuk menyelesaikan masalah inilah yang membuatkan aplikasi ini direka.

 

  1. Dinasti Tan Chong Motor

Tan Yuet Foh, (datuk kepada Anthony) dan datuk saudaranya yang mengasaskan Tan Chong Motor. Ia bermula sebagai pengedar kenderaan motor kecil pada tahun 1950 sebelum berkembang menjadi syarikat pemasangan kereta untuk Nissan di Malaysia .

 

Bapanya, Tan Heng Chew pernah disenaraikan oleh Forbes sebagai individu ke-16 paling kaya di Malaysia pada tahun 2015.


 

Tan Heng Chew
                          Tan Heng Chew

 
 

  1. Grab bermula di Malaysia

Berdasarkan catatan beberapa dokumen tetapi tidak secara menyeluruh dalam laman web rasmi Grab, syarikat ini asalnya dinamakan MyTeksi.

 

la dikhususkan untuk pelanggan membuat tempahan atas talian tanpa perlu menelefon operator teksi seiring dengan teknologi.



MyTeksi diasaskan oleh Tan  melalui kerjasama dengan syarikat Teksi Comfort,  yang mendominasi pasaran di kawasan Subang Jaya. Daripada MyTeksi, ia kemudiannya menukar nama kepada GrabTaxi.


 

grab

 

 

  1. Kemunculan Uber

Secara umumnya, ramai beranggapan perkhidmatan Grab ini sama dengan Uber. Tidak jauh sangat beza, mungkin daripada kaedah upah pemandu. Kita pelanggan sama sahaja.

 

Pada 2018, Grab mengambil alih keseluruhan operasi dan aset Uber, termasuk UberEats, yang menjadi platform perluasan Grab ke dalam perkhidmatan penghantaran makanan. Uber ketika itu memegang 28% saham di dalam Grab.


 

PM

 

 

  1. Pembiayaan

GrabTaxi memohon geran pembiayaan daripada Khazanah Nasional iaitu firma dana pelaburan negara. Menurut catatan Datuk Seri Najib Razak, beliau telah menyokong permohonan Grab.

 

``Saya mencadangkan kepada Khazanah Nasional untuk untuk melabur dalam Grab ketika mereka baru bermula kerana saya dapat lihat potensi dalam syarikat ini.

 

``Bagaimanapun, selepas membuat penilaian, Khazanah tidak membuat pelaburan dalam Grab dan saya tidak meneruskan lagi kerana saya menghormati pendirian mereka.

 

``Sudah tentu, Khazanah kesal sekarang kerana syarikat Grab kini sudah bernilai AS$11 bilion (RM46 bilion),’’ tulis Najib dalam alaman Facebook miliknya.


 

PM

 

 

  1. Singapura setuju biaya

Temasek Holdings, firma dana Singapura berpandangan lain daripada Khazanah. Temasek memberi pembiayaan AS$10 bilion kepada GrabTaxi.

 

Ini mendorong Tan memindahkan ibu pejabatnya dari Malaysia ke Singapura. Pada 2016, Tan menukar kewarganegaraannya kepada warga Singapura.

 

  1. Banyak lagikah syarikat Malaysia tidak disokong sewajarnya?

Ini adalah untuk kerajaan carikan jawapan. Entah apa yang boleh dinikmati negara seandainya Khazanah Nasional bersetuju membiayai Grab dulu.

 

Persoalan apakah ada unsur-unsur politik (kerana dituduh kononnya milik Rosmah) menjadi penyebab Khazanah berkeputusan sedemikian, pun kita tidak akan tahu.

 

 

PM

 

 

  1. Entiti Malaysia pilih disenarai di luar negara?

Secara umumnya, prestasi Bursa Malaysia memang diakui tidak berapa `seksi’ berbanding bursa-bursa negara lain, walaupun di peringkat ASEAN.

 

Tetapi jika syarikat Malaysia ini diberi dorongan dan kasih sayang sewajarnya oleh pihak berkuasa, mereka akan memilih untuk disenaraikan di Bursa Malaysia juga, mungkin.

 

Menurut satu catatan, dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 2019, Kementerian Kewangan menyatakan bahawa terdapat 68 syarikat Malaysia telah disenaraikan di bursa-bursa negara asing.


 

MoF

 

 

  1. Negara miliki semua infrastruktur diperlukan tetapi...

Malaysia memiliki ekosistem yang lengkap dan tersusun untuk membimbing syarikat pemula (start-ups) dengan entiti seperti Cradle Fund dan bermacam lagi agensi seperti MDEC dan sebagainya.

 

Inilah faktor mengapa syarikat seperti Grab boleh diberanakkan di Malaysia, bukan?

 

Tetapi semua pihak kena tanyalah bagaimana syarikat seperti Grab boleh terlepas kepada Singapura?

 

Atau soalan ini tidak penting sebab semua sibuk nak pilihan raya sahaja?

 

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim, Pengarang DagangNews.com - menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau yang menyebabkannya mendengar lagu Hanya Secebis Jawapan oleh Ella & The Boys berulang-ulang kali.
 
*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.