Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Idea Digital - 24 August 2021

Bagaimana Cara Untuk Hasilkan Pemasaran Yang Berkesan Dengan Bajet Kecil?

 

 

ADA caranya. Saya juga menggunakan kaedah-kaedah ini. Percuma, hampir percuma dan berkesan. Saya menulis artikel ini kerana saya telah menerima tiga pesanan terus dari rakan-rakan LinkedIn yang inginkan jawapan kepada persoalan ini. Nasib baik mereka ini semua kawan. Kalau tak kenal, nak sahaja saya balas balik mesej mereka, “untung nak ratus-ratus ribu, untung nak juta-juta setahun, tapi pemasaran semua nak free. Agak-agaklah.”

 

Kawan-kawan punya pasal, ini taktik yang saya gunakan yang mungkin kita semua boleh tiru. Malaysia Boleh!

 

Pertama, jangan menipu diri sendiri

Akui yang kita sebenarnya tidak mempunyai peruntukan yang banyak untuk pemasaran. Jangan menipu orang lain juga. Jangan sesekali mengambil sesiapapun bekerja dengan kita sekiranya kita tidak berniat untuk membayar gaji atau upah mereka.

 

Sambil menulis artikel ini saya teringat pula kisah saya ditipu setahun yang lalu oleh seorang ketua pegawai eksekutif yang berpangkat Dato’. Dia mempunyai beberapa buah syarikat termasuklah sebuah syarikat penghantaran makanan. Individu ini masih belum membayar lagi hutang yang sepatutnya dibayar sebaik sahaja khidmat saya tamat. Dia telah menggunakan khidmat saya selama tiga bulan gara-gara ingin menaikkan jenama perkhidmatan syarikatnya. Rupa-rupanya baharu saya tahu yang hidupnya memang begitu, dari bangun tidur sehingga di pejabat kesemuanya digerakkan dengan hutang.

 

Ada lagi seorang, Dato’ juga, menggunakan khidmat saya selama dua bulan kerana ingin menaikkan jenama syarikat teksi beliau. Insiden ini berlaku lebih lima tahun yang lalu kalau tak silap saya. Saya diambil bekerja tetapi saya tidak tahu yang dia sebenarnya tidak berhasrat langsung untuk membayar perkhidmatan yang diberikan. Dia hanya mahu menggunakan kepakaran pemasaran yang saya ada dengan percuma kemudian berdolak-dalik untuk tidak membayar sehingga saya terpaksa berhenti kerja begitu sahaja.

 

Dia memang terkenal dengan sifat kasar dan samseng, langsung tidak kisah tentang wang yang dihutangnya. Bukan sedikit, RM23,000 hangus begitu sahaja. Jadi tolonglah, anda jangan jadi seperti kedua-dua individu jahanam ini. Kalau tidak ada bajet, belajar untuk buat sendiri pemasaran anda. Terdapat pelbagai bahan bacaan dan video di internet yang boleh dirujuk. Bahasa Melayu ada, Bahasa Inggeris pun ada. Sila rajin-rajinlah belajar.

 

 

Cara kedua ialah dengan menggunakan Facebook untuk iklan 

Mengapa? Dua sebab. Pertama, kerana platform ini menawarkan kadar diantara yang termurah berbanding platform-platform lain, iaitu hanya RM4 sahaja sehari. Facebook juga memiliki Instagram yang kita boleh membuat iklan hanya daripada Facebook. Kedua, hampir semua orang di Malaysia ini memiliki akaun Facebook.

 

 

idea

 

 

Apa lagi, inilah masa dan platform terbaik untuk anda ambil kesempatan. Kita boleh memilih untuk meletakkan iklan sebanyak RM4 boleh, RM10 boleh, RM100 boleh, RM1,000 pun boleh untuk tempoh tertentu mengikut bajet yang ada. Tidak perlu menghabiskan masa berada di platform lain kalau bajet kita agak ketat, Facebook sahaja pun sudah mencukupi. Buat satu-satu dahulu.

 

Walaupun murah, iklan kita di Facebook akan menjadi efektif sekiranya kita tahu kepada siapa iklan kita itu hendak ditayangkan dan di mana lokasi mereka. Kita tidak boleh menayangkannya kepada semua orang kerana bukan semua orang sasaran pelanggan kita. Kalau kita kata semua orang adalah sasaran pelanggan kita, ini bermakna kita sendiri ada masalah dalam menentukan pasaran produk kita sendiri.

 

Kalau kita memiliki perkhidmatan teksi premium contohnya, kita tidak boleh mencari orang biasa-biasa seperti saya ini sebagai sasaran. Kita sepatutnya mencari orang yang have-have atau ada-ada, yang mungkin akan menggunakan khidmat teksi premium kita itu. Orang seperti saya bukan sasaran yang tepat. Bukan apa, saya nak bayar duit Grab RM5 pun tangan dah menggeletar, inikan pula teksi premium.

 

Ketiga, kita juga boleh menggunakan kaedah penulisan blog dan masukkan blog atau artikel yang ditulis itu tadi ke dalam laman web kita.

Ia juga percuma. Apa yang kita perlu lakukan ialah menulis, itu sahaja.

 

 

idea

 

 

Bagaimana menulis secara konsisten boleh membantu? Begini. Sekiranya ada orang sedang mencari jawapan kepada permasalahan mereka di Google dan sekiranya mereka terjumpa dengan penulisan kita yang mempunyai jawapan kepada permasalahan tadi, berkemungkinan besar mereka akan membaca artikel kita sehingga habis.

 

Mungkin juga mereka akan tertarik dengan jawapan unik kita itu. Mungkin juga mereka akan tertarik dengan apa yang kita jual selepas itu. Mungkin juga mereka akan membeli dari anda. Untung bukan? Anda cuma perlu menulis, itu sahaja. Sekiranya kita tidak mampu menulis atau tidak mempunyai masa terluang, upah seseorang yang mahir untuk menulis bagi pihak kita. Yang penting, penulisan kita perlu wujud di internet. Lebih banyak, lebih bagus dan lebih senang untuk dijumpai sekiranya topik penulisan kita itu dicari.

 

Kaedah user-generated content atau kandungan yang dibuat oleh orang lain juga boleh digunakan. Teknik UGC ini diantara yang paling efektif sekali.

 

Cuba kita lihat akaun Instagram yang dimiliki oleh Airbnb dan juga GoPro. Kebanyakan gambar dan video mereka sebenarnya dimiliki oleh peminat mereka, rakan niaga mereka dan pengguna produk mereka. Apa yang Airbnb dan GoPro kemudiannya lakukan ialah dengan menggunakan kembali user-generated content ini di dalam akaun mereka dengan meminta kebenaran terlebih dahulu dari pemilik sebenar gambar atau video tadi.

 

Kita akan lihat sendiri yang pengikut kita akan meningkat dengan lebih cepat dan mudah kerana gambar atau video yang digunakan itu berkualiti tinggi. Berkemungkinan besar juga pemilik sebenar gambar tadi akan menekan butang Like kepada gambar yang kita muatnaik itu. Dan apabila mereka menekan butang Like, secara automatik pengikut mereka juga akan nampak gambar dari akaun kita itu.

 

 

UCG

 

 

Senangkan?

 

Pemasaran sebenarnya tidak memerlukan belanja yang besar dan kita sendiri boleh lakukannya jika berkemampuan. Tetapi sekiranya kita tidak mempunyai masa, sudah tiba masanya kita meletakkan sedikit bajet yang bersesuaian untuk mengupah beberapa orang freelancer, pekerja separuh masa ataupun pekerja kita sendiri yang berkelapangan untuk membantu.

 

Tidak perlulah bercerita besar, ingin pertahankan ego tinggi dan bercita-cita besar untuk menggunakan khidmat agensi pemasaran yang besar-besar kemudiannya tidak mampu untuk membayar mereka.

 

Nanti malu sendiri.              

 

 

Azleen Abdul Rahim adalah seorang pakar strategi pemasaran, juga penulis di blog Tanarata dan kini kolumnis DagangNews.com menerusi kolum IDEA DIGITAL setiap Selasa.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI IDEA DIGITAL

 

 

 

 

Portfolio Tags