Axiata Investments jual 5% kepentingan dalam XL kepada Ferrymount bernilai RM423.5 juta | DagangNews Skip to main content

Axiata Investments jual 5% kepentingan dalam XL kepada Ferrymount bernilai RM423.5 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Anak syarikat tidak langsung Axiata Group Berhad, Axiata Investments (Indonesia) Sdn Bhd (AIISB) bakal melupuskan 5% kepentingan mewakili 553.4 juta saham XL Axiata kepada Ferrymount Investments Limited (FIL) pada nilai RM423.5 juta atau RM0.79 sesaham. 

 

Ini selepas AIISB dan FIL hari ini telah memeterai perjanjian jual dan beli (SPA) bersama-sama Procap Partners Ltd (Procap) dan Tiga Investments Pte Ltd (Tiga Investments) sebagai penjamin, menurut makluman Axiata di Bursa Malaysia.

 

Setakat ini, AIISB memegang 66.5% kepentingan ekuiti dalam XL yang merupakan sebuah syarikat tersenarai di Bursa Indonesia. 

 

“SPA itu akan dilengkapkan dalam tempoh sebulan daripada tarikh perjanjian tersebut atau tarikh lain yang dipersetujui oleh pihak terlibat. Seiring pelupusan tersebut, FIL telah memberi AIISB pilihan untuk membeli 533.4 juta saham XL pada kadar Rp2,700 sesaham (opsyen beli). 

 

“Opsyen beli boleh dilakukan oleh AIISB sekiranya jumlah purata harga wajaran (VWAP) saham XL untuk tempoh tiga bulan kurang daripada harga Rp2,300 sesaham XL pada 31 Mac 2022 atau 30 Jun 2022. 

 

“Opsyen beli akan terbatal sekiranya VWAP saham XL tiga bulan melebihi RP3,300 pada bila-bila masa dalam tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2022,” jelas Axiata.

 

Kata Axiata lagi, pelupusan kepentingan itu memudahkan pengenalan pelabur yang berfokus di Indonesia di dalam XL yang memperakui nilai dan peluang di sektor telekomunikasi domestik.

 

Procap dan Tiga Investments mempunyai pengetahuan, pengalaman, perkongsian perniagaan, dan pelaburan yang luas di Indonesia, dan juga di pasaran modal global.

 

“Axiata berpendapat bahawa pelupusan yang memberi XL dengan akses kepada perkongsian perniagaan Procap dan Tiga Investments itu, akan menempatkan XL dalam kedudukan operasi yang lebih baik dalam waktu terdekat.

 

“Pada masa yang sama, penghubungan Procap dan Tiga Investment ke dalam ekosistem digital Indonesia akan membolehkan XL terlibat secara aktif dan mengembangkan lagi perkhidmatan digital dan nilai tambahnya kepada pangkalan pelanggannya sekitar 58 juta orang, seterusnya meningkatkan pengalaman pengguna,” tambah Axiata. - DagangNews.com