Axiata catat kerugian bersih suku keempat RM255 juta | DagangNews Skip to main content

Axiata catat kerugian bersih suku keempat RM255 juta

 

 

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Axiata Group Bhd. mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM255.96 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2020, berbanding RM332.56 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Axiata berkata, perolehan bagi tempoh itu berada pada RM6.26 bilion, berbanding RM6.27 bilion untuk tempoh sama 2019 ekoran perolehan lebih rendah bagi operasi di Malaysia, Indonesia dan Nepal.

 

Bagi keseluruhan tahun kewangan 2020, untung bersih kumpulan susut kepada RM365.16 juta berbanding RM1.46 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Perolehan juga lebih rendah pada RM24.2 bilion berbanding 2019, RM24.58 bilion susulan langkah sekatan memberi cabaran kepada pengedaran dan kemampuan dalam pasaran yang beroperasi. 

 

Bagaimanapun, perolehan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) meningkat 1.1% kepada RM10.7 bilion disokong pertumbuhan perolehan (kecuali peranti) menerusi Dialog3, Robi4 dan Smart5 dengan penjimatan perbelanjaan operasi sebanyak RM745 juta.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Izzaddin Idris berkata, tahun kewangan 2020 menyaksikan perolehan dan EBITDA adalah kukuh di sebalik pengurangan luaran. 

 

Katanya, baki tunai yang tinggi berjumlah RM7.2 bilion memberi keyakinan kepada kumpulan untuk berdepan ketidaktentuan dan beralih kepada pertumbuhan yang pantas dan pengembangan peluang. 

 

"Di sebalik keyakinan yang berhati-hati, kami memberi tumpuan kepada memelihara tunai terutama menerusi kecekapan perbelanjaan modal (capex) dan usaha berterusan bagi menguruskan kos merentasi kumpulan," katanya. 

 

Beliau berkata, kumpulan membuat keputusan yang penting dengan mempercepatkan penutupan 3G merentasi kumpulan bagi meningkatkan daya tahan rangkaian supaya lebih dinamik dan berteraskan digital masa depan. 

 

"Bagi tahun ini, panduan Axiata berteraskan kepada pertumbuhan perolehan satu digit rendah dan EBITDA yang mencerminkan keyakinan berhati-hati. 

 

"Tambahan pula, dalam menghadapi persekitaran makroekonomi yang rapuh, industri akan terus berdepan cabaran terutama dari segi permintaan kapasiti rangkaian, inisiatif diterajui kerajaan dan ketidaktentuan peraturan yang berterusan akibat impak pandemik COVID-19," tambah beliau. - DagangNews.com