Atlas Vending lancar kempen Sapot SME bantu perluaskan 13 produk PKS | DagangNews Skip to main content

Atlas Vending lancar kempen Sapot SME bantu perluaskan 13 produk PKS

Kempen Sapot SME menyediakan 13 produk daripada usahawan tempatan di seluruh negara yang diletakkan dalam mesih layan diri di Balai Pelepasan KLIA Ekspres, Terminal Udara Kuala Lumpur

 

 

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Atlas Vending, pembekal mesin layan diri terbesar di Malaysia menjadikan sambutan Hari Malaysia lebih bermakna dengan kempen terbaharu mereka, Sapot SME dalam membantu perusahaan kecil dan sederhana yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

 

Kempen ini menampilkan kerjasama dengan pelbagai jenama melibatkan 13 PKS dari setiap negeri di Malaysia, antaranya, Madina Food (Perlis), Nature's Fresh (Kedah), Yee Hup Hiong Piah (Perak), TalentCook (Pulau Pinang), TFN (Selangor), myEureka (Melaka) dan Rehan (Negeri Sembilan).

 

Selain itu Azhar Food (Johor), Tokey Sambal Hitam (Pahang), Anopokku (Terengganu), Akifcafe (Kelantan), Heera Enterprise (Sabah) dan Lee Fah Mee (Sarawak) turut menyertai kempen berkenaan.

 

Menerusi kerjasama ini, setiap PKS akan meletakkan produk kegemaran tempatan yang disahkan halal di dalam mesin Atlas Vending di Balai Pelepasan KLIA Ekspres, Terminal Udara Kuala Lumpur. 

 

Malah, PKS terbabit boleh menggunakan mesin layan diri tersebut tanpa perlu membayar sewa dengan perkhidmatan isian semula percuma selama 3 bulan mulai pertengahan September. 

 

Kempen Sapot SME ini adalah fasa pertama konsep Atlas Minit Mart terbaharu yang akan dilancarkan oleh Atlas Vending bagi menawarkan rangkaian produk yang lebih meluas melalui mesin layan diri.

 

Ketua Pemasaran dan Perniagaan Sokongan Atlas Vending, Amy Gan berkata, ramai usahawan tempatan terpaksa mengecilkan skop pelan perniagaan mereka, akibat masalah logistik bekalan, kos sewaan dan pengurangan waktu operasi.

 

Oleh itu, katanya, mereka bercadang untuk menawarkan mesin layan dirisebagai saluran jualan berautomasi bagi membantu meluaskan lagi jangkauan PKS. 

 

"Kami memilih Sapot SME sebagai tema untuk kempen ini kerana Persatuan PKS Malaysia mendapati bahawa 100,000 PKS telah menutup perniagaan mereka sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama dikuatkuasakan 18 Mac 2020 manakala 50,000 lagi PKS berisiko untuk gulung tikar jika PKP 3.0 kali dilanjutkan. 

 

"Menerusi kempen Sapot SME ini, kami berharap untuk meraikan semangat Malaysia dengan menyokong para usahawan di seluruh negara dan keazaman mereka untuk terus bertahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Bagi melindungi pengguna yang berulang-alik menerusi hab perjalanan KL Sentral semasa pandemik ini, Atlas Vending telah memasang lampu UV yang berupaya menghapuskan 99.99% kuman di atas papan kekunci yang kerap disentuh pengguna. 

 

Bagi melindungi para pelanggan daripada terdedah kepada sinar UV, ciri lampu UV itu akan terpadam secara automatik apabila alat pengesan gerakan mengesan ada orang menghampiri mesin layan diri tersebut. 

 

Kempen Sapot SME ini disokong oleh Express Rail Link Sdn Bhd (ERLSB) sebagai rakan tapak acara rasmi, yang turut membantu mengukuhkan PKS menerusi inisiatif yang amat bermakna sempena Hari Malaysia ini.

 

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Lee Fah Mee Sdn. Bhd., Chai Chin Siew yang berpangkalan di Sarawak berkata, sebagai pengeluar dan pengeksport mi kering dan mi segera, pandemik COVID-19 telah memperlahankan pelan pengembangan syarikat ke Malaysia Barat. 

 

"Apabila Atlas Vending menghubungi kami untuk kempen Sapot SME ini, kami tidak perlu berfikir panjang dan terus bersetuju untuk menyertainya. 

 

"Produk kami adalah kegemaran penduduk tempatan Sarawak dan atas bantuan mereka, mi segera dan snek kami seperti Kerepek Laksa Sarawak kini boleh diakses menerusi saluran baharu, bukan sahaja penduduk Sarawak yang tidak dapat pulang akibat pandemik ini, tetapi juga oleh rakyat Malaysia lain yang belum pernah mencuba produk kami," katanya. 

 

Turut berkongsi pandangan, Pengasas Tokey Sambal Hitam, Khairril Adhzaha Awahab, pembekal dan pengeluar Sambal Hitam dari Pahang.

 

Menurutnya, syarikat sudah memasuki pasaran dalam talian sejak 2017 dan belum pernah mencuba saluran jualan secara fizikal sebelum ini. 

 

"Keupayaan untuk menjual produk kami secara fizikal melalui mesin layan diri yang dikhaskan untuk kami di tengah-tengah Kuala Lumpur, yang disediakan oleh Atlas Vending, adalah pencapaian yang bermakna. 

 

"Peluang ini membolehkan kami berkembang melangkaui pasaran semasa kami, dan berharap ia akan meningkatkan lagi jualan seterusnya membolehkan kami bertahan dalam pandemik ini dan terus berkembang pada masa depan,” kongsinya. - DagangNews.com