“Wallahi, tiada satu sen duit kerajaan saya belanjakan kecuali untuk rakyat" - Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

“Wallahi, tiada satu sen duit kerajaan saya belanjakan kecuali untuk rakyat" - Muhyiddin

Gambar Facebook Muhyiddin Yassin

PAGOH 16 Nov - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau berani bersumpah dengan nama Allah bahawa tidak ada satu sen duit kerajaan disalahgunakan ketika pandemik COVID-19 selain untuk membantu rakyat.

 

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkata, ketika beliau menjadi Perdana Menteri, segala perbelanjaan wang kerajaan dibuat mengikut garis peratusan kewangan sedia ada, lapor Free Malaysia Today.

 

“Wallahi, saya boleh bersumpah satu sen pun tak ada duit kerajaan yang saya belanjakan kecuali untuk rakyat dan dibuat ikut peraturan kewangan sedia ada,” katanya kepada media selepas menghadiri program bersama sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Bukit Pasir.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari, bahawa dirinya akan disiasat berhubung dakwaan membelanjakan RM500 bilion ketika pandemik COVID-19, dua tahun lalu, jika gabungan itu menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

 

Muhyiddin turut mencabar Adly atau pemimpin PH lain, menunjukkan bukti bahawa wujud salah laku kewangan kerajaan semasa beliau menjadi perdana menteri dalam menguruskan COVID-19 sebelum hari mengundi tanpa menunggu selepas PRU15 dan sedia disiasat pada bila-bila masa.

 

“Kalau dilihat kepada keseluruhan perbelanjaan memang besar, tapi semua dibuat ikut peraturan. Tak payah tunggu…siasat sekarang, tak payah tunggu selepas PRU. Saya tak rasa takut kerana semuanya diurus mengikut dasar perolehan, cara perbelanjaan bawah kontrak kewangan.

 

“Yang penting Adly kalau ada bukti beritahu sekarang, ini biasalah pemimpin PH beritahu ada kes-kes, macam dibuat Rafizi Ramli, tapi bila dicabar apa buktinya? Ini nak ambil kesempatan kempen sebab mereka tahu kita (PN) sudah nampak sokongan makin meningkat, jadi cari jalan nak memburuk-burukkan, menyebarkan fitnah tak berasas,” katanya.

 

Muhyiddin turut mempersoalkan mengapa hanya selepas dua tahun beliau menguruskan COVID-19 baru sekarang ia dibangkitkan dan tidak dilaporkan kepada SPRM.

 

“Jangan cakap lepas pilihan raya, ini pasal dia (Adly) bertanding di sana (Alor Gajah) dia nak menang, dia kata PN tak betul, dah rosak, macam dia lah, dia pun ada kes rasuah, parti dia ada kes rasuah, kami tak ada,” katanya.

 

Terdahulu, Adli dilaporkan berkata Muhyiddin akan disiasat berhubung dakwaan membelanjakan RM500 bilion ketika pandemik COVID-19, dua tahun lalu, sekiranya PH menang PRU15. - DagangNews.com