VS Industry dijangka terus berdepan masalah buruh sepanjang FY22 | DagangNews Skip to main content

VS Industry dijangka terus berdepan masalah buruh sepanjang FY22

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 31 Mac - Situasi kekurangan buruh dijangka terus mempengaruhi prospek VS Industry Bhd. sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Julai 2022 (FY22) di sebalik usaha kumpulan untuk meningkatkan pengambilan pekerja tempatan, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research. 

 

Firma itu berkata, sekiranya proses pengambilan pekerja berjalan seperti dirancang dengan kuota 3,700 pekerja, kumpulan mungkin boleh meningkatkan operasinya sebanyak 40%. 

 

Ketika ini, katanya, operasi berjalan dengan kapasiti penuh, tetapi masih belum dapat memenuhi jumlah permintaan pelanggan. 

 

"Bagaimanapun, prospek VS Industry kekal utuh melalui beberapa perbincangan dengan pelanggan baharu untuk menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan. 

 

"Kami berpendapat sebaik sahaja sempadan antarabangsa dibuka semula, perbincangan akan menjadi lebih produktif dengan beberapa pelanggan berpotensi telah pun menyatakan hasrat untuk mengadakan lawatan ke kilang.

 

"Namun, kami dapati, perbelanjaan pengambilan pekerja boleh mencecah kira-kira RM30 juta yang dijangka ditanggung sepenuhnya pada FY22 dan seterusnya dituntut daripada pelanggan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Selain daripada masalah kekurangan buruh, HLIB melihat prospek yang menggalakkan daripada Pelanggan X dengan pengalihan pesanan daripada pembuatan kontrak lain berikutan masalah buruh baru-baru ini.

 

Pengurusan menjangkakan untuk memulakan pengeluaran bagi pengalihan 4 model bermula suku keempat FY22, yang mana tambahan kontrak akan menjana hasil sebanyak RM800 juta.

 

"Bagi Pelanggan Amerika Syarikat (AS) pula, VS Industry menjangkakan sumbangan berjumlah RM800 juta (berbanding RM1 bilion sebelum ini) disebabkan kekangan tenaga buruh.

 

"Secara dasarnya, margin sumbangan Pelanggan AS ini adalah lebih tinggi daripada Pelanggan X. Tambahan pula, Pelanggan AS adalah satu-satunya yang terlindung daripada masalah kekurangan komponen kerana kebanyakannya memerlukan komponen mekanikal," jelasnya.

 

HLIB juga menjangkakan kemudahan i-Park Senai Airport City yang memulakan pengeluaran sejak Ogos 2021 dengan kapasiti 20%, dijangka menyumbang dengan ketara apabila pengeluaran meningkat sepenuhnya dengan kemasukan tenaga buruh.

 

Kumpulan memberi panduan, ia akan memberi hasil sebanyak RM300 juta bagi FY22 manakala RM800 juta bagi FY23.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap VS Industry, sebaliknya menyemak turun harga sasarannya kepada RM1.21 daripada RM1.45 sebelum ini.

 

Ia mengurangkan unjuran pendapatan sesaham bagi FY22/FY23 masing-masing sebanyak 21%/13% selepas mengambil kira hasil yang lebih rendah dan cabaran dari segi margin dalam tempoh terdekat.

 

"Namun, sebagai pemain perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) terbesar di Malaysia dengan rekod prestasi yang kukuh, kami berpendapat VS Industry adalah penerima utama daripada peralihan perdagangan yang semakin rancak," katanya. 

 

Setakat 10.37 pagi ini, harga sahamnya menokok 3 sen atau 3.03% kepada RM1.02 dengan 2.1 juta saham diniagakan. - DagangNews.com