KUALA LUMPUR 20 April - Top Glove Corporation Berhad dijangka terus mencatatkan kerugian bagi baki 2023 selepas dilihat terus berdepan tekanan akibat ketidakseimbangan permintaan-bekalan berterusan.
Public Investment Bank Research (PublicInvest) berkata, walaupun pengeluar sarung tangan Malaysia telah mula menaikkan purata harga jualan (ASP) bermula Februari 2023, namun keupayaan untuk melepaskan kos kepada pelanggan masih terhad kerana pengeluar dari China masih menjual produk pada harga yang rendah.
"Antara pengeluar sarung tangan di bawah liputan kami, Top Glove mempunyai tunai bersih yang paling rendah, menjadikannya lebih mencabar untuk bertahan dalam tempoh keadaan lebihan kapasiti yang berpanjangan dalam pasaran.
"Tanpa skala ekonomi dan kumpulan itu hanya beroperasi pada kadar penggunaan 30%, kami percaya kumpulan itu akan terus mengalami kerugian untuk baki tahun 2023," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, harga getah asli dijangka kekal tidak berubah mulai Mei 2023 berikutan berakhirnya musim sejuk dan firma itu menyedari bahawa ia mencatatkan penurunan daripada AS$4.48/MMBtu pada Disember 2022 kepada AS$2.22/MMBtu pada Mac 2023.
Bagaimanapun, firma itu berkata, pihak pengurusan menjangkakan berlaku satu lagi kenaikan tarif elektrik pada 2HFY23, tetapi firma itu menjangkakan kesannya adalah minimum kerana tenaga elektrik hanya menyumbang kurang 4% daripada jumlah kos.
"Secara keseluruhannya, memandangkan pandangan bahawa kos tidak mungkin melonjak atau kekal tinggi, kami fikir ia akan menjadi lebih mencabar untuk Top Glove untuk mewajarkan kenaikan ASP seterusnya," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'underperform' dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak 62 sen sesaham. - DagangNews.com








