YTL Cement, UTM perkukuh pembangunan bakat dan pembelajaran sektor kejuruteraan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

YTL Cement, UTM perkukuh pembangunan bakat dan pembelajaran sektor kejuruteraan

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 15 Jan – Kumpulan YTL Cement, dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperkukuh kerjasama dalam pembangunan bakat, pembelajaran terapan serta amalan pembinaan mampan untuk sektor kejuruteraan negara.

 

Usaha tersebut dijalin menerusi memorandum persefahaman antara bahagian pembelajaran dan pembangunan Kumpulan YTL Cement, CDL Academy Sdn Bhd dengan UTM di ibu negara hari ini.

 

MoU berkenaan ditandatangani oleh Naib Canselor UTM, Prof Mohd Shafry Mohd Rahim dan Pengerusi CDL Academy, Datuk Mohd Zaid Zakaria, sekali gus memformalkan kerjasama sedia ada antara kedua-dua pihak.

 

Menurut kenyataan, perjanjian itu bertujuan menyediakan pendedahan industri dan pengalaman praktikal kepada pelajar, sekali gus mempersiapkan mereka untuk menyertai sektor pembinaan yang semakin menuntut kemahiran teknikal dan inovasi berasaskan kelestarian.

 

Di bawah kerjasama tersebut, kedua-dua pihak akan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk program latihan profesional, latihan industri pelajar, pertukaran akademik, bengkel, seminar serta projek inovasi merangkumi bahan binaan hijau, teknologi pembinaan termaju dan penyelesaian pengurusan kos.

 

Sejak penubuhannya pada 2019, CDL Academy telah menganjurkan lebih 100 seminar dan sesi pembelajaran, memberi manfaat kepada lebih 10,000 peserta merangkumi ekosistem pembinaan dan kejuruteraan.

 

Kerjasama strategik dengan UTM ini dijangka memperluas impak inisiatif tersebut, khususnya dalam melahirkan graduan yang bersedia industri serta menangani keperluan baharu dalam bidang pembinaan mampan dan teknologi bangunan termaju.

 

MoU berkenaan akan berkuat kuasa selama tiga tahun dengan pilihan untuk diperbaharui. 

 

Penyelaras daripada kedua-dua pihak akan dilantik bagi memantau pembangunan program dan memastikan hasil yang boleh diukur kepada pelajar, penyelidik serta industri pembinaan secara keseluruhan. - DagangNews.com