KUALA LUMPUR 15 Jan - TAS Offshore Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM7.03 juta bagi suku kedua berakhir 30 November 2025, susut 25% daripada RM9.4 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Kumpulan perkapalan itu berkata, kemerosotan tersebut disebabkan oleh kerugian pertukaran mata wang asing berikutan pengukuhan nilai ringgit yang menjejaskan pendapatan syarikat berkenaan sendiri.
Tambahnya, keadaan itu mengakibatkan prestasi hasil sepanjang tempoh tersebut turun kira-kira 14% kepada RM47.01 juta berbanding sebanyak RM54.51 juta dicatatkan pada suku kedua tahun lalu.
"Selain faktor mata wang, penurunan pendapatan juga dipengaruhi oleh penghantaran kapal dengan spesifikasi dan harga kontrak yang berbeza," maklum TAS Offshore kepada Bursa Malaysia hari ini.
Bagaimanapun jelas kumpulan itu, prestasi enam bulan yang berakhir 30 November 2025, menunjukkan syarikat tersebut masih berdaya tahan dengan peningkatan hasil sebanyak 5% kepada RM104.17 juta.
Sehubungan itu, keuntungan bersih bagi tempoh terkumpul separuh tahun itu turut meningkat kira-kira 7% kepada RM16.47 juta, berbanding RM15.37 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.
Lembaga Pengarah tambahnya, bersetuju meluluskan dividen interim satu peringkat sebanyak dua sen sesaham bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Mei 2026, dan akan dibayar pada 10 Februari 2026.
"Dari segi prospek pasaran, Indonesia kekal sebagai pasaran utama yang menyumbang 100% kepada hasil pembinaan kapal syarikat, dan TAS Offshore masih berpendirian kekal strategik," jelasnya.
Ini katanya, termasuk memanfaatkan permintaan tinggi terhadap kapal tunda yang dipacu oleh sektor perlombongan, sumber asli, dan pelaburan infrastruktur maritim yang mampan di negara tersebut.
Selain itu jelas kumpulan tersebut, Lembaga Pengarah menyatakan keyakinan namun secara berhati-hati terhadap prospek masa depan, disebabkan banyak faktor luaran yang mungkin tidak menentu.
Mereka menyifatkan bahawa asas perniagaan yang kukuh mampu meletakkan syarikat pada kedudukan baik untuk mengekalkan momentum positif sepanjang tahun kewangan 2026. - DagangNews.com








