KUALA LUMPUR 25 Nov – Kelington Group Berhad diramalkan terus mencatat peningkatan keuntungan dan margin kukuh sehingga FY26–FY27 disokong oleh buku pesanan yang besar, projek margin tinggi dan pembangunan hab teknologi hijau, kata RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, Kelington mencatatkan hasil pendapatan pada 3QFY25 sebanyak RM316.4 juta, meningkat 12% berbanding suku sebelumnya dan 3% YoY dengan keuntungan teras suku ketiga sebanyak RM41.6 juta, naik 4% tahun ke tahun.
Keuntungan teras sembilan bulan pertama 2025 pula berjumlah RM98.7 juta, mewakili 66% daripada unjuran tahunan RHB Research.
“Margin keuntungan kasar meningkat kepada 21.3% pada 9M25 daripada 18.4% pada 9M24, hasil daripada sumbangan lebih tinggi daripada projek margin tinggi dan segmen gas industri (LCO2).
“Pendapatan dari Singapura mencatat pertumbuhan, manakala Malaysia dan China menyusut, namun kekuatan daripada pasaran Singapura membantu mengekalkan hasil keseluruhan,” kata firma itu dalam nota kajiannya.
Selain itu, buku pesanan syarikat masih kukuh melebihi RM1.6 bilion, manakala senarai tender berjumlah RM4.5 bilion hingga RM4.6 bilion, memberikan sokongan kepada pertumbuhan pendapatan FY25 hingga FY27.
RHB Research berkata, Kelington juga melancarkan usaha sama dalam pengeluaran hidrogen hijau (green hydrogen) berkapasiti 2MW dengan pengeluaran awal 200 cum/jam akan digunakan oleh SKS Coachbuilders untuk bas berkuasa sel bahan api.
“Projek ini dijangka siap dalam tempoh 6–9 bulan, sekali gus membuka peluang pendapatan baharu bagi syarikat,” katanya.
Bagi unjuran prestasi kewangan, RHB Research menjangkakan pendapatan Kelington meningkat daripada RM1.31 bilion pada FY25 kepada RM1.46 bilion pada FY26 dan RM1.59 bilion pada FY27.
“Keuntungan bersih berulang pula dijangka naik daripada RM151 juta (FY25) kepada RM174 juta (FY26) dan RM189 juta (FY27).
“Sementara itu, dividen per saham dijangka meningkat kepada 14 sen pada FY26 daripada 12 sen pada FY25, dengan hasil dividen kira-kira 2.4%,” kata firma tersebut.
RHB mengekalkan saranan Beli untuk saham Kelington dengan harga sasaran RM6.10, mencerminkan potensi kenaikan 9.9% dari harga pasaran semasa.
Risiko yang dikenal pasti termasuk kelewatan projek, margin lebih rendah daripada jangkaan, dan penurunan dalam pengisian semula buku pesanan. - DagangNews.com








