KUALA LUMPUR 30 Jan – Keuntungan bersih Hock Soon Capital Berhad dijangka menyusut 21.8% kepada RM33.2 juta bagi tahun kewangan 2026 (FY26f) berbanding RM42 juta pada FY25 susulan penghapusan subsidi telur kerajaan, kata Malacca Securities.
Firma penyelidikan itu berkata EPS FY26f diunjurkan pada 6.6 sen, menjadikan P/E sekitar 9.0 kali.
“Penurunan ini menekankan risiko yang dihadapi syarikat, terutama ancaman wabak penyakit ayam seperti Avian Influenza dan Newcastle, yang boleh mengurangkan pengeluaran secara mendadak.
“Ketika wabak H9N2 melanda pada 2018, pengeluaran syarikat jatuh hampir 80% dan pendapatan menurun 25% pada tahun kewangan berikutnya.
“Penghapusan subsidi telur kerajaan bermula 2026 pula dijangka menurunkan keuntungan bersih FY26f sebanyak 21.8%, memaksa syarikat mengurus harga jualan dalam pasaran domestik yang sangat kompetitif,” kata Malacca Securities dalam nota kajiannya.
Kos bahan mentah juga menjadi cabaran penting antaranya jagung dan dedak kacang soya yang menyumbang lebih 80% kos makanan ayam, diniagakan dalam pasaran global.
Firma itu berkata sebarang kenaikan harga yang tidak dapat dipindahkan kepada pengguna boleh menjejaskan margin keuntungan.
“Operasi utama tertumpu di ladang Bidor, menjadikan syarikat terdedah kepada bencana tempatan atau gangguan sistem automasi. Sebarang kegagalan boleh menggangu pengeluaran harian sebanyak 1.63 juta telur, memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan dan pendapatan.
“Risiko lain termasuk kemungkinan kontaminasi produk seperti salmonella, yang boleh menyebabkan penarikan balik, liabiliti undang-undang, atau denda daripada pihak berkuasa,” katanya.
Walaupun berdepan risiko, Hock Soon mengekalkan kelebihan melalui model perniagaan bersepadu. Dari kilang makanan ayam sendiri hingga pusat penggredan telur, syarikat mengekalkan kawalan penuh terhadap kos dan kualiti. Mesin teknologi canggih membantu memastikan operasi efisien dan biosekuriti tinggi.
Malacca Securities berkata pengembangan ladang di Teluk Intan dijangka menambah 25 reban baharu, meningkatkan kapasiti pengeluaran harian sebanyak 103.6% atau sekitar 1.53 juta telur tambahan.
“Projek ini dilaksanakan secara progresif dalam tempoh lima tahun, membolehkan syarikat menyesuaikan pertumbuhan mengikut permintaan pasaran.
“Kilang makanan ayam di Bidor turut dinaik taraf dengan kapasiti 225 metrik tan sehari menjelang suku keempat 2027, memastikan bekalan makanan ayam mencukupi dan berkualiti tinggi untuk menyokong pengembangan ladang.
“Dari aspek kewangan, walaupun keuntungan bersih FY26f dijangka menurun, keuntungan dijangka pulih kepada RM35.8 juta pada FY27f dan RM38.5 juta pada FY28f, seiring kapasiti pengeluaran bertambah dan operasi bersepadu berjalan lancar,” katanya.
Pengukuhan ringgit Malaysia terhadap dolar AS memberi impak positif, menurunkan kos bahan mentah dan meningkatkan margin kasar, menyokong keuntungan operasi syarikat.
IPO Hock Soon ditawarkan pada RM0.60 sesaham dengan nilai pasaran RM300 juta. Nilai wajar ditetapkan pada RM0.66 sesaham, menunjukkan potensi kenaikan 10%, sementara pelabur kini menilai sama ada strategi pengembangan dan kelebihan operasi syarikat mampu menangkis risiko yang wujud.- DagangNews.com








