KUALA LUMPUR 14 Jan — Foodie Media Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM3.78 juta bagi suku pertama berakhir 30 November 2025, disokong oleh faktor pengurusan kos yang berdisiplin.
Syarikat media digital tempatan itu berkata, ia mencatatkan hasil kira-kira RM12.6 juta, didorong oleh isu pertumbuhan segmen penerbitan media digital susulan peningkatan penglibatan kandungan tajaan.
Ini merupakan pengumuman keputusan kewangan suku tahunan yang pertama dilaksanakan Foodie Media selepas penyenaraian kumpulan tersebut di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 28 November 2025.
"Prestasi kami disokong oleh portfolio aset digital yang pelbagai serta keupayaan pemasaran kukuh, dengan sebahagian besar hasil dijana daripada pasaran Malaysia sendiri," maklumnya kepada bursa.
Kumpulan itu yang menguruskan sejumlah 37 jenama dengan capaian 46 juta pengikut di Asia Tenggara, turut meraih sumbangan tambahan dari pasaran luar negara termasuk di Ireland dan Singapura.
Ketua Pegawai Eksekutif Foodie Media Nicholas Lim Pinn Yang berkata, kumpulan akan terus memberi tumpuan aspek pengukuhan keupayaan teras media digital melalui perluasan kandungan pelbagai segmen.
Tambah beliau, usaha konsisten tersebut juga merangkumi pengembangan kempen pemasaran ekosistem pencipta kandungan dan sentiasa aktif bekerjasama dengan ramai pemimpin pendapat utama (KOL).
“Menerusi pelaburan secara berterusan dalam bakat, teknologi dan strategi kandungan berasaskan data, kami berhasrat membina platform mampan menghubungkan jenama dengan ramai audiens,” jelasnya.
Pinn Yang berkata, sehingga 30 November 2025, Foodie Media sudah berjaya memiliki tunai dan deposit jangka pendek sebanyak RM50.6 juta, manakala jumlah pinjaman kekal rendah kira-kira RM0.4 juta.
Keadaan tersebut menjadikan kedudukan tunai bersih kumpulan sebanyak RM50.2 juta, manakala untung kasar pada 1QFY26 pula RM7.1 juta dengan margin yang stabil mencecah 56.4%. - DagangNews.com








