Untung bersih Atlan susut 96.6% kepada RM137,000 pada 3QFY26 akibat tiada pampasan pengambilan tanah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Atlan susut 96.6% kepada RM137,000 pada 3QFY26 akibat tiada pampasan pengambilan tanah

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Jan - Atlan Holdings Berhad mencatatkan keuntungan bersih yang boleh diagihkan kepada pemegang saham sebanyak RM137,000 bagi suku ketiga berakhir 30 November 2025 (3QFY26).


Kumpulan tersebut berkata, jumlah berkenaan menunjukkan penurunan secara ketara kira-kira 96.6% berbanding sebanyak RM29.93 juta yang pernah dicatatkan pada suku yang sama tahun sebelumnya.


Kejatuhan mendadak ini disebabkan terutama ketiadaan pendapatan daripada pampasan pengambilan tanah secara wajib berjumlah RM69.6 juta yang sudah dimasukkan akaun pada suku tahun yang sama 2025.


"Pendapatan syarikat ini turut didapati menyusut kepada RM108.25 juta berbanding RM112.48 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu," jelas Atlan dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.


Hasil segmen bebas cukai menurun kepada RM39.6 juta susulan penutupan cawangan runcit di Bukit Kayu Hitam, Kedah pada November 2024, manakala segmen automotif juga mencatatkan hasil lebih rendah.


Ia hanya sebanyak RM57.2 juta dengan kumpulan itu berkata, kemerosotan akibat pengurangan tempahan daripada pelanggan, selaras dengan penurunan jualan kenderaan komersial di pasaran seluruh negara.


Bagaimanapun jelas Atlan, segmen hartanah dan hospitaliti menunjukkan peningkatan hasil kepada RM10.57 juta didorong penjualan unit berkembar tiga tingkat dan kadar penghunian hotel yang baik.


"Pendapatan sesaham asas kumpulan ini namun mencatatkan kejatuhan secara ketara kepada kira-kira 0.05 sen daripada sebanyak 11.80 sen pada suku tahun sebelumnya," kata syarikat berkenaan. 


Berdasarkan perkembangan itu, ia mengisytiharkan dividen interim kedua satu peringkat sebanyak 5.0 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2026, yang akan dibayar pada 3 Mac 2026.


Pihak pengurusan Atlan menjangkakan persekitaran perniagaan akan kekal mencabar bagi baki tahun kewangan 2026 disebabkan peningkatan kos produk dan operasi serta tekanan inflasi yang berterusan. 


Jelasnya, bagi mendepani cabaran itu, segmen automotif melalui UI Group merancang untuk mengukuhkan prestasi dengan menerokai pelbagai kolaborasi dalam rantaian nilai produk kenderaan elektrik (EV).


"Kami juga meningkatkan kecekapan operasi melalui langkah kawalan kos, dan  komited meneroka peluang perniagaan baharu yang dapat memberi nilai jangka panjang kepada pemegang saham," katanya. - DagangNews.com