KUALA LUMPUR 23 Jan – Aneka Jaringan Holdings Berhad memulakan tahun kewangan 2026 dengan keuntungan bersih sebanyak RM1.16 juta bagi suku pertama berakhir 30 November 2025 (1QFY26).
Walaupun kekal mencatatkan keuntungan, jumlah tersebut menunjukkan berlaku penurunan sebanyak 50.13% berbanding RM2.33 juta yang dilaporkan pada tempoh yang sama tahun sebelumnya (1QFY25).
Kejatuhan ini sebahagian besarnya berpunca daripada pengurangan ketara dalam pendapatan lain yang merosot kepada kira-kira RM0.27 juta berbanding RM1.90 juta suku sama pada tahun kewangan 2025.
"Ketika itu kumpulan ini mendapat manfaat daripada tuntutan insurans berjumlah RM1.65 juta, selain keuntungan 1QFY26 terkesan oleh perbelanjaan cukai," kata Aneka Jaringan kepada Bursa Malaysia.
Impak kos percukaian tersebut jelasnya menerusi makluman, berpunca daripada subsidiari kumpulan itu di Indonesia iaitu PT Aneka Jaringan Indonesia (PTAJI) dan PT Aneka Jaringan Energy (PTAJE).
Bagaimanapun ujarnya, hasil secara keseluruhan didapati meningkat kepada RM82.42 juta pada suku berkenaan, naik kira-kira 3.72% berbanding hanya sebanyak RM79.47 juta dicatatkan pada 1QFY25.
Keuntungan kasar pula melonjak 12.56% kepada RM5.34 juta berbanding RM4.75 juta bagi tempoh yang sama tahun lalu, manakala untung sebelum cukai adalah RM1.28 juta, iaitu susut daripada RM2.48.
"Sehingga tarikh laporan ini diterbitkan, Aneka Jaringan berjaya memperoleh projek-projek baharu dengan nilai untuk kesemua kontrak tersebut berjumlah sebanyak RM87.87 juta," tambah kumpulan itu.
Pencapaian ini katanya, mencerminkan komitmen kumpulan untuk mengekalkan buku tempahan yang kukuh bagi memastikan kesinambungan kerja sepanjang tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2026 (FY26).
Pengurusan kumpulan namun menyatakan bahawa keadaan pasaran semasa dalam tempoh yang terdekat masih lagi kekal mencabar kepada pertumbuhan syarikat ekoran pengaruh perkembangan geopolitik.
Kumpulan tersebut jelas Aneka Jaringan, akan terus memantau turun naik harga konkrit secara rapat dan mengambil langkah-langkah perlu untuk mengurangkan tekanan kos yang dikenal pasti berpotensi.
"Di sebalik berdepan pelbagai cabaran tersebut, kumpulan ini terus menyatakan perasaan optimis secara berhati-hati terhadap unjuran prestasi kewangan semasa bagi keseluruhan FY26," katanya.
Lembaga Pengarah kumpulan berkenaan tambahnya, memutuskan tidak mengisytiharkan sebarang dividen kepada pemegang saham bagi suku pertama berakhir 30 November 2025. - DagangNews.com








