Untung bersih 3QFY25 Pesona Metro meningkat 126% kepada RM10.9 juta, hasil bertambah kepada RM197.5 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih 3QFY25 Pesona Metro meningkat 126% kepada RM10.9 juta, hasil bertambah kepada RM197.5 juta

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 21 Nov – Pesona Metro Holdings Berhad merekodkan lonjakan kukuh dalam semua petunjuk kewangan suku ketiga berakhir 30 September 2025 (Q3FYE2025), dipacu margin projek lebih baik dan sumbangan segmen pembangunan hartanah.

 

Menurut laporan kewangan tidak diaudit yang diumumkan hari ini, Pesona Metro mencatatkan pendapatan RM197.5 juta, meningkat 27% daripada RM155.4 juta yang dicatatkan pada Q3FYE2024. 

 

Lonjakan ini disokong terutamanya oleh peningkatan progress billing projek pembinaan serta sumbangan daripada anak syarikat pembangunan hartanah, Gaya Kuasa Sdn Bhd.

 

Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) turut melonjak 239% kepada RM19.0 juta, berbanding RM5.6 juta tahun sebelumnya, manakala Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Minoriti (PATAMI) meningkat 126% kepada RM10.9 juta daripada RM4.8 juta.

 

Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Urusan Pesona Metro, Wie Hock Beng berkata, prestasi suku ini membuktikan kekuatan strategi kepelbagaian kumpulan.

 

“Kami sangat digalakkan dengan prestasi kukuh pada suku ini. Gabungan margin projek yang lebih sihat serta sumbangan daripada Gaya Kuasa jelas menunjukkan manfaat daripada langkah kami memasuki segmen pembangunan hartanah,” katanya.

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025 (9MFYE2025), Pesona Metro merekodkan pendapatan RM519.2 juta, meningkat 51% daripada RM343.0 juta pada 9MFYE2024.

 

PBT melonjak 165% kepada RM43.2 juta, manakala PATAMI meningkat 107% kepada RM27.7 juta.

 

Segmen pembangunan hartanah terus mencatat prestasi memberangsangkan apabila menyumbang RM56.9 juta atau 29% daripada jumlah pendapatan kumpulan bagi Q3FYE2025, satu lonjakan 70% berbanding RM33.5 juta pada suku sebelumnya.

 

Menurut Pesona Metro, segmen pembinaan kekal sebagai penyumbang terbesar dengan pendapatan RM388.8 juta, meningkat 20% daripada RM325.3 juta pada 9MFYE2024 dan merangkumi kira-kira 75% pendapatan kumpulan.

 

Sementara itu, segmen konsesi dan penyelenggaraan menyumbang RM22.2 juta, meningkat 25% daripada RM17.7 juta.

 

Wie berkata kejayaan projek Residensi Aman Bukit Jalil, yang memenangi kategori Perumahan Mampu Milik Berketinggian Tinggi di Anugerah Hartanah Malaysia ™ (MPA) 2025, menjadi pengiktirafan penting terhadap pendekatan pembangunan kumpulan.

 

“Menang pada penyertaan pertama kami merupakan penghormatan besar dan membuktikan bahawa rumah mampu milik boleh dibangunkan pada standard premium melalui reka bentuk berfikir jauh, perancangan efisien dan komitmen terhadap kualiti,” katanya.

 

Setakat 9MFYE2025, Pesona Metro mengekalkan buku pesanan pembinaan bernilai RM2.5 bilion, melibatkan sembilan projek aktif yang akan menyokong prestasi sehingga tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

 

Melangkah ke hadapan, beliau berkata kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek secara berdisiplin sambil mengembangkan buku pesanan secara berhemat.

 

“Dengan kepakaran terbukti dan keupayaan menyesuaikan diri, kami yakin dapat mengekalkan aliran projek, meneroka pasaran pertumbuhan dan memberikan nilai jangka panjang kepada pemegang saham serta pemilik rumah,” menurutnya. - DagangNews.com