Untung bersih 2Q Alpha IVF susut 20.5% akibat kos pra-operasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih 2Q Alpha IVF susut 20.5% akibat kos pra-operasi

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 23 Jan – Untung bersih Alpha IVF Group Bhd mencatatkan penurunan sebanyak 20.5% bagi suku kedua (2Q) berakhir 30 November 2025, walaupun hasil kumpulan terus meningkat berikutan kos pra-operasi dan perbelanjaan pentadbiran yang lebih tinggi.

 

Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, syarikat penjagaan kesuburan itu melaporkan keuntungan bersih berjumlah RM12 juta, turun daripada RM15.1 juta setahun lalu manakala hasil meningkat 9.4% kepada RM47.3 juta berbanding RM43.24 juta sebelum ini.

 

Prestasi keuntungan yang lebih lemah itu terutamanya disebabkan oleh perbelanjaan pentadbiran, yang melonjak kepada RM10.95 juta berbanding RM7.06 juta pada tempoh sama tahun lalu. Bagaimanapun, margin keuntungan kasar kekal stabil pada 59%.

 

Alpha IVF terus memperkukuh pelan pertumbuhannya dengan mengembangkan rangkaian pusat IVF penuh kepada enam buah, susulan pembukaan kemudahan baharu di Kota Kinabalu dan Manila, Filipina.

 

Menurut syarikat, penambahan pusat ini akan meningkatkan kapasiti rawatan, memperluas akses pesakit serta mengukuhkan kehadiran Alpha IVF di pasaran berpertumbuhan tinggi yang masih kurang mendapat perkhidmatan.

 

Seiring itu, Alpha IVF turut memulakan operasi klinik satelit baharu di Medan, Indonesia, melengkapkan rangkaian sedia ada di Jakarta dan Surabaya. 

 

Rangkaian klinik satelit yang semakin berkembang ini dijangka meningkatkan jangkauan pesakit dan kadar penukaran rujukan, selain menyokong pertumbuhan yang lebih cekap dari segi modal serta mengekalkan fleksibiliti kunci kira-kira.

 

Bagi ganjaran kepada pemegang saham, Alpha IVF mengesahkankan dividen interim pertama sebanyak setengah sen sesaham untuk tahun kewangan berakhir 31 Mei 2026 (FY2026), yang akan dibayar pada 31 Mac. 

 

Dividen itu mewakili nisbah pembayaran 89.1% bagi separuh pertama FY2026, selaras dengan komitmen syarikat untuk mengekalkan dasar dividen setahun penuh pada kadar 60%.

 

Bagi separuh pertama FY2026, keuntungan bersih Alpha IVF menyusut 7.5% kepada RM27.28 juta berbanding RM29.48 juta setahun lalu, manakala hasil meningkat 15.3% kepada RM99.39 juta daripada RM86.24 juta.

 

Malaysia kekal sebagai penyumbang utama pendapatan, dengan RM90.9 juta atau 91.5% daripada jumlah hasil. 

 

Pendapatan daripada pesakit asing meningkat 17.2% tahun ke tahun kepada RM61.5 juta, disokong oleh aliran berterusan dari pasaran serantau, manakala pendapatan daripada pesakit tempatan melonjak 40.6% kepada RM29.3 juta.

 

Pengarah Urusan Alpha IVF, Datuk Dr Colin Lee Soon Soo berkata, walaupun keuntungan terjejas sementara akibat pelaburan berkaitan pengembangan, langkah tersebut penting untuk membina platform serantau yang mampan dan berskala.

 

“Apabila pusat-pusat baharu mencapai kematangan dan kadar penggunaan meningkat, kami menjangkakan leverage operasi akan diterjemahkan kepada prestasi keuntungan yang lebih kukuh,” katanya. - DagangNews.com