KUALA LUMPUR 14 Jan – Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersama Electricite Du Laos (EDL) dan Electricity Generating Authority of Thailand (EGAT) memeterai Perjanjian Pemindahan Tenaga Fasa 2 (EWA Fasa 2) di bawah Projek Integrasi Tenaga Laos-Thailand-Malaysia-Singapura Fasa 2 (LTMS-PIP 2.0).
Kumpulan utiliti tempatan itu berkata, kerjasama berkenaan sekali gus mampu memperkukuh peranan Malaysia sebagai penghantar tenaga dalam rantaian dagangan elektrik rentas sempadan ASEAN.
Perjanjian itu memudah cara pembekalan tenaga boleh baharu sehingga 100 megawatt (MW) dari Lao PDR ke Singapura, dengan Thailand dan Malaysia bertindak sebagai penghantar tenaga.
EWA Fasa 2 turut melengkapkan pelaksanaan penuh LTMS-PIP 2.0, meningkatkan jumlah kapasiti dagangan elektrik daripada 100 MW kepada sehingga 200 MW, dengan bekalan tenaga tambahan disalurkan dari Malaysia ke Singapura.
Dalam kenyataan hari ini, TNB berkata, perjanjian selama dua tahun itu membolehkan penjualan, penghantaran dan pembelian elektrik yang dijana di Lao PDR ke Singapura melalui Thailand dan Malaysia menggunakan kemudahan rangkaian grid sedia ada di negara masing-masing, sejajar dengan aspirasi Grid Kuasa ASEAN (APG).
Majlis pemeteraian perjanjian di Ibu Pejabat EGAT, Nonthaburi, Thailand disaksikan oleh Timbalan Pengarah Urusan EDL, Souksavart Sosouphanh; Gabenor EGAT, Dr.Narin Phoawanich; dan Ketua Pegawai Grid TNB, Hasmarizal Hassan.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, EWA Fasa 2 menandakan satu lagi pencapaian penting dalam memajukan agenda APG dan memperkukuh tadbir urus pelbagai hala dalam kalangan negara anggota ASEAN.
“Sebagai pemain utama dalam APG, TNB kekal komited untuk mempertingkatkan keselamatan tenaga serantau sambil menerajui agenda peralihan tenaga. Malaysia telah secara konsisten menyatakan komitmennya untuk memperkukuh kerjasama tenaga di rantau ini,” katanya.
Menurut beliau, TNB akan terus memberikan sokongan penuh kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dalam memajukan visi landskap tenaga ASEAN yang saling terhubung dan kukuh, sambil memastikan penghantaran tenaga rentas sempadan dilaksanakan secara selamat dan berdaya harap.
Sementara itu, Souksavart berkata, EDL berbesar hati meneruskan kejayaan LTMS-PIP sebagai perintis pembekalan tenaga bersih merentas ASEAN.
“Kami berbangga menjadi aset dalam merealisasikan APG dan berharap lebih banyak negara terlibat demi menyokong keselamatan tenaga bersih serantau dan pembangunan mampan,” katanya.
Dr Narin pula berkata, pemeteraian EWA Fasa 2 merupakan kemajuan strategik dalam kerjasama tenaga serantau antara Lao PDR, Thailand, Malaysia dan Singapura dengan peningkatan kapasiti perdagangan elektrik rentas sempadan yang memperkukuh keselamatan tenaga, daya tahan grid dan mempercepatkan peralihan tenaga.
“EGAT kekal komited menyokong perdagangan elektrik rentas sempadan, sistem kuasa rendah karbon dan inisiatif perdagangan kuasa pelbagai hala ASEAN,” katanya.
TNB turut memaklumkan pada September 2024, syarikat itu telah memeterai Perjanjian Bekalan Tenaga (ESA) dengan Keppel Electric Pte Ltd bagi membekalkan elektrik ke Singapura di bawah fasa pertama LTMS-PIP 2.0.
EWA Fasa 2 mengukuhkan lagi kerjasama ini dengan menyediakan rangka kerja wheeling yang diperlukan untuk membolehkan penghantaran tenaga boleh baharu merentas sempadan secara selamat, sekali gus menyokong usaha kolektif ASEAN ke arah peralihan tenaga, kelestarian dan daya tahan tenaga jangka panjang.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga Thailand, Dr Prasert Sinsukprasert; Ketua Pengarah Jabatan Dasar, Perancangan, Pembangunan dan Penilaian, Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Lao PDR, Santisouk Phimphachanh; serta Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Malaysia, Mareena Mahpudz. - DagangNews.com








