Tindakan Indonesia tunda pelaksanaan B50 dikhuatiri tekan harga minyak sawit mentah - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tindakan Indonesia tunda pelaksanaan B50 dikhuatiri tekan harga minyak sawit mentah - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Jan — Keputusan Indonesia menunda pelaksanaan mandatori biodiesel B50 dikhuatiri memberi tekanan bagi harga minyak sawit mentah (MSM) dan menjejaskan sentimen sektor perladangan.


Menurut RHB Research, kerajaan negara jiran itu dijangka mengekalkan campuran biodiesel pada paras B40 sepanjang 2026, sementara kajian lanjut masih dijalankan bagi menilai kesan penggunaan B50.


Keadaan ini kata firma penyelidikan berkenaan, termasuk impak terhadap enjin automotif serta perbezaan harga antara minyak sawit dan minyak gas (POGO) yang boleh memberi kesan ekonomi jangka panjang.


"Susulan perkembangan itu, kami meletakkan andaian harga MSM sebanyak RM4,250 satu tan bagi 2026 di bawah semakan semula, memandangkan unjuran sebelum ini mengambil kira penggunaan B50," katanya.


Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto dilaporkan berkata pelaksanaan B50 masih dipertimbangkan pada separuh kedua 2026, namun keputusan akhir bergantung kepada situasi.


Presiden Indonesia, Prabowo Subianto turut mengarahkan agar dasar biodiesel negara berkenaan kekal kepada B40 buat masa ini, untuk menilai balik harga dan kesediaan industri jika B50 dimuktamadkan. 


RHB Research turut menegaskan bahawa risiko penurunan harga MSM semakin meningkat, terutamanya jika Indonesia terpaksa menaikkan levi eksport minyak sawit bagi menampung kos subsidi biodiesel.


"Berdasarkan perbezaan harga POGO semasa sekitar AS$382 (RM1,549) satu tan, kami menganggarkan levi eksport minyak sawit ditapis perlu dinaikkan kepada sekurang-kurangnya 13.3%," jelas firma itu.


Tambahnya, rasional peningkatan tinggi itu berbanding hanya 7.5% pada ketika ini, bagi membiayai pelaksanaan B50 sepanjang tahun sekiranya dilaksanakan Indonesia pada enam bulan terakhir 2026.


Dari segi kuota pula katanya, peruntukan biodiesel Indonesia bagi 2026 ditetapkan pada 15.646 juta kiloliter, hanya sedikit tinggi berbanding sasaran 2025, dengan hampir 48% daripadanya perlu diberikan subsidi.


Walaupun mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor perladangan, RHB Research menyatakan akan terus memantau perkembangan lanjut berkaitan levi eksport dan dasar biodiesel negara jiran itu.


Saham pilihan utamanya dalam sektor ini termasuk Johor Plantations Group, Sarawak Oil Palms, IOI Corporation, London Sumatra Indonesia, SD Guthrie Berhad dan First Resources. - DagangNews.com