Tiada bantahan pemegang saham, Mytech lulus usul ceburi perniagaan pinjaman wang berlesen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiada bantahan pemegang saham, Mytech lulus usul ceburi perniagaan pinjaman wang berlesen

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 JanMytech Group Berhad memperoleh sokongan penuh kesemua pemegang saham untuk memperluaskan perniagaannya ke dalam perkhidmatan kredit atau pinjaman wang secara berlesen.


Keputusan tersebut dicapai apabila tiada sebarang bantahan yang dikemukakan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) syarikat itu di Dewan Berjaya, Equestrian & Country Resort, Bukit Kiara, Kuala Lumpur.


Kumpulan pegangan pelaburan itu berkata, resolusi tunggal bagi cadangan mempelbagaikan perniagaan sedia ada kumpulan untuk merangkumi perkhidmatan kredit diluluskan sebulat suara melalui undian.


"Seramai 17 pemegang saham, mewakili 107.71 juta saham, menyokong resolusi tersebut, bersamaan 100 peratus undi diterima, tanpa sebarang undi yang menentang," maklum Mytech kepada Bursa Malaysia.


Proses pengundian berkenaan pada EGM tersebut semalam kemudian turut disahkan secara muktamad oleh firma Sharepolls Sdn Bhd selaku pemeriksa undi bebas rasmi yang dilantik oleh syarikat itu.


Kelulusan ini membuka laluan kepada kumpulan mempelbagaikan sumber pendapatan melalui segmen perkhidmatan kredit, sejajar dengan strategi kumpulan untuk mengembangkan lagi skop perniagaan.


Mytech yang sebelum ini dikenali sebagai Widetech (Malaysia) Berhad, ditubuhkan pada 1984 sebelum menjadi syarikat terhad awam pada 1995 dan disenaraikan di Papan Kedua Bursa Malaysia pada 1997.


Ia memiliki sejumlah anak syarikat, antaranya Wire Master Spring Sdn Bhd, GW Premium Capital Sdn Bhd, Probusiness Investment Limited, Goldwealth Capital Sdn Bhd dan Asia Pacific Winning Limited.


Bagaimanapun, kumpulan itu tidak menyatakan sama ada akan mewujudkan subsidiari baharu atau segmen perniagaan pinjaman wang tersebut diserapkan terus kepada mana-mana anak syarikat yang sedia ada.


Firma kredit berlesen tertakluk kepada Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dengan dikawal selia oleh Bahagian Kawalan Kredit Komuniti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. - DagangNews.com