Tahun Melawat Malaysia 2026 diyakini tingkatkan perbelanjaan sektor pengguna, kata MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tahun Melawat Malaysia 2026 diyakini tingkatkan perbelanjaan sektor pengguna, kata MBSB Research

Gambar kredit Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Jan — Inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) diyakini memberi kesan positif kepada sektor pengguna, melalui peningkatan perbelanjaan berkaitan aktiviti pelancongan.


Bagaimanapun menurut MBSB Research, impaknya terhadap penilaian saham dijangka bersifat sederhana dan lebih tertumpu kepada segmen yang terpilih, terutamanya terhadap syarikat-syarikat tertentu.


Firma penyelidikan itu namun optims dengan momentum pelancongan terus mengukuh menjelang TMM 2026, dengan 20.04 juta pelancong dicatatkan bagi tempoh 11 bulan 2025, naik 6.8% tahun ke tahun (YoY).


"Angka ini mencerminkan pemulihan berterusan perjalanan rentas sempadan ke arah paras prapandemik, dengan aliran masuk stabil disokong oleh usaha promosi berterusan," katanya dalam nota analisis.


MBSB Research menambah, negara ini sebenarnya memiliki banyak daya tarikan sebagai destinasi serantau yang selamat dan berdaya saing dari segi kos berbanding negara-negara jiran di ASEAN.


Menurutnya, peningkatan pelancong dijangka memberi sokongan tambahan untuk segmen pengguna yang terdedah kepada perbelanjaan pelancongan, khususnya barangan pengguna bergerak pantas (FMCG).


Ini katanya, termasuk runcit mudah beli serta makanan dan minuman (F&B), dengan trafik tinggi di lapangan terbang, pusat beli-belah dan hab pelancongan utama dijangka mendorong banyak permintaan.


"Produk minuman berbotol, makanan berbungkus dan pembelian impulsive dinilai berpotensi menerima manfaat daripada peningkatan perbelanjaan pelancong luar sepanjang percutian," kata MBSB Research.


Dalam kalangan syarikat tersenarai, ia memilih QL Resources dengan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM4.33 melalui rangkaian FamilyMart, serta Mr DIY (beli, TP RM2.20) menerusi jaringan kedai KKV.


Begitu juga syarikat pengeluar air minuman seperti Life Water dan Spritzer, tetapi firma berkenaan masih mengekalkan penilaian berhati-hati terhadap saham yang sudah lama mencatat kenaikan ketara.


Dari sudut kos pula, MBSM Research menyifatan persekitaran input adalah kekal menyokong sektor pengguna, dengan kebanyakan harga komoditi utama dinilai akan terus menurun secara tahunan.


"Harga gandum, gula, koko dan minyak sawit mentah (MSM) terus lemah, yang meredakan tekanan margin pengeluar makanan, meskipun harga kopi kekal faktor risiko bagi segmen F&B tertentu," katanya.


Dalam subsektor ternakan, harga telur runcit menunjukkan pembetulan jangka pendek pada November 2025, manakala harga ayam mula menunjukkan pemulihan, menandakan imbangan bekalan dan permintaan.


Kos makanan ternakan pula tambah MBSB Research, dijangka kekal terkawal, dengan penurunan harga dedak kacang soya yang sebahagiannya dilihat berjaya mengimbangi kenaikan kecil harga jagung.


Ia turut menekankan pengukuhan ringgit, mencatat purata RM4.09 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Disember 2025, memberikan kelegaan tambahan kepada pengeluar yang bergantung import.


"Secara keseluruhan, kami mengekalkan penarafan 'positif' terhadap sektor pengguna, disokong oleh penggunaan domestik yang berdaya tahan, dan bantuan fiskal secara berterusan," jelasnya lagi. 


Sokongan tambahan menjelang TMM 2026 turut memberi kesan, namun menegaskan impak penilaian saham kemungkinan terhad bagi kaunter yang sudah mendahului asas perniagaan. - DagangNews.com