Ta Ann berpotensi umum dividen tinggi bagi 4QFY25 susulan pengeluaran kukuh kayu balak - PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ta Ann berpotensi umum dividen tinggi bagi 4QFY25 susulan pengeluaran kukuh kayu balak - PublicInvest

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 JanTa Ann Holdings Berhad berpotensi untuk mengumumkan kadar dividen yang lebih tinggi bagi suku keempat FY25 susulan prestasi pengeluaran kayu balak yang semakin terus kukuh


Menurut analisis Public Investment Bank (PublicInvest), prospek positif berkenaan berikutan data disumbangkan komoditi tersebut turut meningkat 40% tahun ke tahun (YoY) pada suku terakhir itu.


Firma penyelidikan berkenaan menambah, faktor peningkatan tuaian buah tandan segar (BTS) kelapa sawit daripada ladang syarikat mencatatkan pertumbuhan pengeluaran 27% (YoY) bagi tempoh 4QFY25.


"Keadaan ini menjadikan jumlah pengeluaran tahunan mencecah 666,005 tan, naik 3% berbanding FY24, dan Ta Ann juga merekodkan kedudukan tunai yang amat kukuh," jelasnya dalam nota kajian hari ini. 


Aliran tunai operasi kumpulan itu melebihi RM230 juta setahun, dan PublicInvest tidak menolak kemungkinan dividen kira-kira 15 sen bagi 4QFY25, menjadikan jumlah dividen tahunan ialah 45 sen.


Kadar tersebut bersamaan hasil dividen sekitar sembilan peratus hingga 10%, menjadikan syarikat berkenaan antara saham berisiko yang mampu untuk menawarkan dividen paling tinggi di Malaysia.


Selain itu, firma berkenaan turut menyatakan bahawa prestasi suku keempat berkemungkinan memberikan kejutan pendapatan, disokong oleh pengeluaran BTS yang tinggi, kos pengeluaran lebih rendah.


"Sumbangan keuntungan yang meningkat daripada 29.4% pegangan Ta Ann dalam Sarawak Plantation Berhad turut dikenal pasti sebagai banyak membantu menambahkan pendapatan kumpulan," kata PublicInvest.


Bagi FY26, pengurusan menyasarkan pertumbuhan pengeluaran BTS sebanyak dua digit, disokong oleh hasil yang normal lebih 17 tan setiap hektar dan corak cuaca adalah menggalakkan di Sarawak.


Dari segi penilaian, firma itu menekankan bahawa saham Ta Ann kekal sangat berbaloi, didagangkan pada 7 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) tanpa mengambil kira tunai bersih RM355 juta.


PublicInvest turut menyifatkan nilai pegangan RM275 juta dalam Sarawak Plantation, jauh di bawah purata industri sebanyak 13 kali PER bagi syarikat perladangan berskala kecil hingga sederhana.


"Berdasarkan perkembangan semasa, kami mengekalkan saranan 'outperform' dan harga sasaran (TP) yang berasaskan jumlah bahagian (SOP) RM5.64 sesaham," katanya. - DagangNews.com