KUALA LUMPUR 20 Jan – Syntiant Corp, syarikat global penyelesaian kecerdasan buatan (AI) berkuasa rendah terus memperkasakan peranan Malaysia sebagai hab pengeluaran semikonduktor melalui kompleks pengeluaran dan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) baharu miliknya di Seberang Prai, Pulau Pinang.
Perkembangan ini menandakan langkah penting bagi pertumbuhan Syntiant di Asia dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab strategik bagi pengeluaran semikonduktor dan teknologi AI generasi baharu.
Kompleks baharu ini mempunyai keluasan kira-kira 220,000 kaki persegi, lebih dua kali ganda saiz operasi Syntiant sebelum ini di Pulau Pinang.
Dengan pembukaan kompleks ini, kapasiti pengeluaran tahunan syarikat meningkat kepada sekitar 1.6 bilion unit, membolehkan Syntiant memenuhi permintaan global yang semakin meningkat.
Kompleks tersebut menggabungkan proses pembuatan, kejuruteraan dan penyelidikan AI yang mampu menampung sehingga 800 pekerja di satu lokasi.
Ia juga dilengkapi dengan teknologi pemprosesan sistem mikro-elektro-mekanikal (MEMS), penyediaan litar bersepadu (IC), serta kemudahan ujian dan pemasangan, menjadikannya pusat inovasi teknologi canggih di rantau ini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo bersama Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Syntiant Kurt Busch.
Jagdeep Singh berkata prestasi sektor perindustrian yang terbukti selama lebih lima dekad di Pulau Pinang telah membina ekosistem yang memikat keyakinan pelabur dari luar negara untuk menubuhkan dan meluaskan operasi mereka di negeri tersebut.
“Kami amat berbangga mengalu-alukan pusat R&D baharu Syntiant di Pulau Pinang yang mampu menyumbang pada kepakaran teknologi dan memperkasakan kedudukan negeri ini sebagai hab utama dalam inovasi elektronik canggih dan AI, sejajar dengan reputasi kita sebagai ‘Lembah Silikon di Rantau Timur’,” katanya ketika berucap di majlis tersebut.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid, menegaskan pelaburan Syntiant menempatkan Malaysia di barisan hadapan inovasi AI dan semikonduktor generasi baharu dapat membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi dan memperkukuh keupayaan teknologi tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama Syntiant, Kurt Busch pula berkata kompleks baharu ini membolehkan syarikat mempercepatkan inovasi dan menyediakan penyelesaian pintar kepada pelanggan global, dari pasaran pengguna sehingga industri dan perusahaan.
Bagi Pengurus Besar Syntiant Malaysia, Ong Lay Pean pula, pelaburan ini menunjukkan keyakinan syarikat terhadap bakat dan ekosistem inovasi tempatan, serta membolehkan penyelidikan moden diterjemahkan menjadi penyelesaian sebenar yang memberi manfaat kepada pengguna dan industri di seluruh dunia.
Pengembangan Syntiant ini selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030, yang memberi tumpuan kepada penciptaan pekerjaan bernilai tinggi dan pembangunan teknologi canggih.
Sejak pengambilalihan operasi Mikrofon MEMS Pengguna oleh syarikat Knowles pada 2024, Syntiant telah memperkukuh keupayaan dalam AI berbentuk nyata dan deria pintar, menggabungkan sensor, pemproses keputusan neural dan perisian untuk IoT, automotif, industri dan pasaran pengguna.
Sehingga kini, lebih 20 bilion mikrofon SiSonic™ MEMS telah dihantar ke seluruh dunia, membuktikan keberkesanan teknologi dan rumusan AI Syntiant di pasaran global. - DagangNews.com








