Syarikat pembuatan bahan kimia GB Bond rancang penyenaraian di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syarikat pembuatan bahan kimia GB Bond rancang penyenaraian di Pasaran ACE

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Jan – Syarikat pembuatan bahan kimia, GB Bond Holdings Bhd memfailkan draf prospektusnya dengan Bursa Malaysia bagi penyenaraian di Pasaran ACE.

 

Ia bertujuan mengumpul dana untuk mengembangkan lagi operasi serantau serta menaik taraf keupayaan pembuatan domestiknya.

 

Tawaran awam permulaan (IPO) itu melibatkan terbitan awam sebanyak 64.3 juta saham baharu, mewakili 15.6% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan, serta tawaran jualan sebanyak 42.88 juta saham sedia ada, atau 10.4% kepentingan, oleh Pengarah Urusan Datuk Gooi Ching Koay.

 

Daripada terbitan awam tersebut, 20.62 juta saham (5% daripada modal saham terbitan diperbesarkan kumpulan) akan ditawarkan kepada orang awam Malaysia, dibahagikan sama rata antara pelabur Bumiputera dan bukan Bumiputera. 

 

Baki 39.56 juta saham akan diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), manakala 4.12 juta saham lagi akan diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan rakan niaga yang layak.

 

Selepas penyenaraian, modal saham terbitan kumpulan akan meningkat kepada 412.3 juta saham. 

 

Harga IPO dan permodalan pasaran indikatif akan ditentukan kemudian.

 

Gooi dan Pengarah Eksekutif Lee Kim Wei, yang masing-masing memiliki 87.1% dan 10.9% daripada 348 juta saham GB Bond sebelum IPO akan kekal sebagai pemegang saham utama selepas penyenaraian, dengan pegangan mereka dicairkan kepada 63.11% dan 9.20%.

 

Bagi mencapai tujuan tersebut, sebuah syarikat tujuan khas yang diperbadankan pada Mei lalu bagi memudahkan proses penyenaraian telah ditubuhkan, dengan GB Bond mewakili satu kumpulan yang subsidiarinya terlibat dalam pembuatan pelekat industri, polimer emulsi dan bahan pengedap (sealant).

 

Kumpulan itu merancang menggunakan hasil terbitan untuk memperluaskan operasi ke Vietnam melalui penubuhan pejabat jualan tempatan bagi menembus pasaran dan memperkukuh perkhidmatan pelanggan di negara tersebut.

 

Di dalam negara, kumpulan itu bercadang menyewa sebuah kilang baharu seluas 40,000 kaki persegi berhampiran ibu pejabat sedia ada di Bukit Panchor bagi menempatkan mesin pengadun dan penggaul tambahan, serta barisan pengeluaran baharu untuk perniagaan bahan pengedap yang diperkenalkan pada Jun 2025.

 

Operasi pembuatan syarikat ini merentasi pelbagai sektor, termasuk kertas dan pembungkusan, kerja kayu, laminasi fabrik, pengubahsuaian, serta salutan sarung tangan. 

 

Strategi pengembangannya bertujuan meningkatkan kapasiti pembuatan keseluruhan, menambah baik formulasi produk, dan memacu pertumbuhan jualan di pasaran domestik serta Vietnam.

 

Bagi menyokong inisiatif ini, kumpulan itu merancang melabur dalam peralatan ujian dan analisis baharu, di samping mempergiat aktiviti pemasaran di seluruh Malaysia.

 

Malacca Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penjamin terbitan dan ejen penempatan bagi cadangan penyenaraian tersebut. - DagangNews.com