KUALA LUMPUR 30 Jan - Swift Energy Technology Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM12.13 juta bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025, merudum 28.8% berbanding RM17.03 juta pada FY24.
Situasi lemah itu disebabkan kesan perbelanjaan besar penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) secara sekali sahaja serta penurunan aktiviti segmen pembuatan dan perkhidmatan kejuruteraan.
Selain itu katanya, dari segi pendapatan, kumpulan tersebut merekodkan sebanyak RM94.20 juta, turun 14.9% berbanding RM110.75 juta pada tahun kewangan yang berakhir pada 30 September 2024.
"Keuntungan kasar adalah RM40.47 juta dengan margin keuntungan kasar yang sihat sebanyak 43.0%, manakala margin untung selepas cukai (PAT) kekal mampan pada kadar 12.9%," kata Swift Energy.
Menurut pengurusan syarikat rumusan teknologi berkenaan, landskap operasi sepanjang 2025 adalah mencabar berikutan isu ketidaktentuan ekonomi global dan cabaran ketegangan geopolitik semasa.
Dasar perdagangan antarabangsa, termasuk kenaikan tarif oleh pentadbiran Amerika Syarikat (AS), turut meningkatkan kos bahan mentah dan menjejaskan sentimen perniagaan secara keseluruhan.
Di samping itu jelas Swift Energy, penurunan pendapatan turut disumbangkan oleh permintaan yang lebih rendah bagi perkhidmatan penyelenggaraan dan kejuruteraan sepanjang tahun tinjauan.
"Kumpulan ini berjaya disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 8 Januari 2025, dengan IPO terlebih langgan sebanyak 58.09 kali, dan berjaya mengumpul dana kira-kira RM70.06 juta," katanya.
Modal daripada penyenaraian tersebut tambahnya, akan digunakan untuk pembesaran beberapa kemudahan fabrikasi, gudang, pejabat, dan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di Shah Alam, Selangor.
Walaupun berdepan momentum jualan yang perlahan, Swift Energy berjaya memperoleh kontrak baharu bernilai RM24.37 juta, termasuk tempahan bagi peralatan tenaga boleh diperbaharui (RE) di Nigeria.
Pengerusi Bebas Bukan Eksekutifnya, Mohammad Nizar Idris berkata, syarikat kekal fokus membina nilai pemegang saham jangka panjang melalui pertumbuhan mampan dan pelaburan semula operasi.
"Syarikat menyasarkan pertumbuhan dagangan antara RM16 juta hingga RM30 juta bagi tempoh 2026 hingga 2028 dengan memanfaatkan sektor minyak dan gas (O&G) serta automasi industri," katanya. - DagangNews.com








