Struktur jumlah ditolak sendiri dan bayaran bersama pelan asas insurans kesihatan dikhuatiri hadkan penyertaan B40 – Kenanga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Struktur jumlah ditolak sendiri dan bayaran bersama pelan asas insurans kesihatan dikhuatiri hadkan penyertaan B40 – Kenanga

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 27 Jan – Keperluan bayaran bersama dan jumlah ditolak sendiri di bawah cadangan pelan asas insurans dan takaful perubatan serta kesihatan dikhuatiri mengehadkan kadar pengambilan dalam kalangan kumpulan berpendapatan rendah, menurut penganalisis.

 

Kenanga Investment Bank berkata, struktur jumlah ditolak sendiri dan bayaran bersama yang diperlukan, khususnya bagi rawatan luar rangkaian, berisiko menghalang golongan B40 daripada melanggan pelan tersebut, walaupun ia diposisikan sebagai alternatif perlindungan yang lebih mampu milik.

 

“Kebimbangan kami ialah struktur bayaran bersama atau jumlah ditolak sendiri yang diperlukan mungkin menjejaskan minat golongan B40 untuk melanggan, memandangkan had perlindungan tahunan mungkin tidak mencukupi bagi penyakit kronik yang kompleks atau berpanjangan,” kata firma penyelidikan itu.

 

Malaysia dijadualkan melancarkan program perintis bagi pelan asas berkenaan pada separuh kedua 2026, sebelum pelaksanaan penuh pada awal 2027.

 

Inisiatif itu, yang direka untuk menyediakan perlindungan kos lebih rendah bagi rawatan perubatan asas, menyasarkan isi rumah berpendapatan sederhana serta pemegang polisi yang keluar daripada pelan perubatan swasta susulan penetapan semula harga pada 2024 dan 2025, dengan penyertaan adalah secara sukarela.

 

Walaupun pelan asas ini dilihat sebagai satu langkah ke arah meluaskan akses penjagaan kesihatan, Kenanga berpandangan ciri struktur pelan berkenaan berpotensi mengehadkan keberkesanannya.

 

Pandangan Kenanga itu selari dengan Pusat Galen bagi Kesihatan dan Dasar Sosial, yang menyifatkan cadangan kerajaan tersebut sebagai lebih lemah berbanding produk insurans kesihatan sedia ada di pasaran. 

 

Badan pemikir itu turut berpendapat pelan berkenaan mungkin gagal menarik minat mereka yang kini tidak mempunyai perlindungan insurans.

 

Kenanga berkata, walaupun perlindungan tahunan sebanyak RM100,000 atau RM150,000 mampu menampung banyak prosedur rutin dan kemasukan ke hospital, ia berkemungkinan tidak mencukupi bagi keadaan kompleks atau berpanjangan seperti kanser, atau sekiranya pemegang polisi memerlukan pemulihan pelbagai disiplin.

 

“Selain itu, hospital mungkin perlu menyesuaikan penawaran perkhidmatan kepada pakej yang lebih standard dan kos efisien, memandangkan manfaat di bawah pelan asas ini ditanda aras kepada kos hospital swasta tahap rendah dan pertengahan,”  menurut Kenanga. - DagangNews.com