KUALA LUMPUR 14 Jan – Kerajaan akan mula menyalurkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 Tahun 2026 mulai 20 Januari ini bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat dan memastikan kesejahteraan sosial terus terjamin.
Pengumuman berkenaan dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perutusan Tahun Baharu 2026 pada 5 Januari lalu.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan bagi fasa pertama ini, sebanyak RM1.1 bilion diperuntukkan yang akan memberi manfaat kepada 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas yang tiada pasangan.
“Setiap penerima akan menerima bayaran antara RM100 hingga RM500, bergantung kepada kategori kelayakan masing-masing,” menurut kenyataan tersebut.
Kerajaan menegaskan bahawa STR adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan bantuan disalurkan secara tepat kepada golongan yang memerlukan, termasuk isi rumah berpendapatan rendah dan warga emas yang kurang berkemampuan.
Inisiatif ini juga bertujuan meningkatkan keberkesanan langkah kerajaan dalam mengurangkan beban kos sara hidup, terutamanya di tengah-tengah keadaan ekonomi yang semakin mencabar.
Penerima STR dinasihatkan untuk menyemak kelayakan mereka melalui saluran rasmi kerajaan bagi memastikan proses pembayaran berjalan lancar dan tanpa sebarang masalah.
“Pemantauan dan penyaluran bantuan akan dilakukan secara telus dan berkesan bagi memastikan setiap bantuan sampai kepada mereka yang benar-benar layak.
“Selain itu, STR diharap dapat memberi kesan positif kepada ekonomi domestik melalui peningkatan kuasa beli isi rumah, sekali gus merangsang perbelanjaan domestik dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara.
“Ini adalah komitmen kerajaan untuk terus memperluas dan memperkukuh bantuan sosial bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana, sejajar dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk mewujudkan kesejahteraan ekonomi yang lebih inklusif dan berkesan untuk semua rakyat Malaysia,” katanya. - DagangNews.com








