Southern Steel mengalami kerugian bersih RM60.4 juta bagi FY25 akibat keadaan pasaran tidak menentu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Southern Steel mengalami kerugian bersih RM60.4 juta bagi FY25 akibat keadaan pasaran tidak menentu

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 Jan - Southern Steel Berhad mencatatkan kerugian bersih RM60.4 juta bagi tempoh kewangan 15 bulan berakhir 30 September 2025 disebabkan keadaan pasaran yang tidak menentu. 


Jelas kumpulan itu, prestasi ini turut dipengaruhi oleh harga input yang berubah-ubah serta kos utiliti lebih tinggi, sekali gus mengulangi kerugian bersih RM55.8 juta dicatatkan bagi FY24.


Meskipun berdepan persekitaran mencabar, kumpulan tersebut masih berjaya menstabilkan kedudukan kewangan melalui inisiatif penjimatan kos bagi mengimbangi kesan turun naik harga pasaran semasa.


"Southern Steel namun merekodkan pendapatan RM2.68 bilion bagi tempoh tinjauan, naik berbanding RM2.25 bilion bagi tahun kewangan 12 bulan pada 2024," maklumnya kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

 

 

 

 


Peningkatan ini jelas kumpulan pengeluar pelbagai jenis produk keluli sejak ditubuhkan pada 1963 itu, didorong oleh jumlah jualan yang lebih tinggi dan tempoh pelaporan FY25 pula lebih panjang.


Tahun kewangan 2025 juga menyaksikan fasa transformasi besar apabila Green Esteel Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura muncul sebagai pemegang saham kawalan baharunya pada 14 Januari 2025.


Bagaimanapun syarikat tersebut yang beroperasi di Perai, Pulau Pinang itu berjaya mengurangkan tahap hutang secara signifikan menerusi proses pembayaran balik pinjaman berjumlah RM601 juta.


"Usaha ini mengurangkan jumlah pinjaman keseluruhan kepada RM271 juta setakat 30 September 2025, sekali gus merendahkan kos kewangan dan meningkatkan fleksibiliti modal," kata Southern Steel.


Selain itu, kumpulan berkenaan turut mencapai penyelesaian damai dengan syarikat Danieli dari Itali berhubung masalah pertikaian pelaburan dalam Southern HRC yang sudah berlarutan selama enam tahun.


Ia berjaya menerima bayaran tunai RM203 juta, dan syarikat melupuskan 55% ekuiti dalam Southern Steel Mesh Sdn Bhd kepada BRC Asia Limited untuk memberi tumpuan kepada perniagaan huluan teras.


Loji pembuatan keluli di Perai namun dihentikan sementara pada April 2025 berikutan kos operasi yang tidak lagi mampan, sementara syarikat merancang untuk menaik taraf kemudahan tersebut.


"Kilang itu akan dilengkapi pelbagai teknologi automasi termaju selaras Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, agar mampu bersaing dengan syarikat-syarikat lain di Malaysia," jelasnya lagi.

 

 

 

 

 

 


Lembaga Pengarah Southern Steel menyatakan bahawa walaupun pasaran keluli global kekal kompetitif, sektor infrastruktur dan perindustrian negara ini dijangka terus menyokong permintaan yang stabil. 


Secara keseluruhan, kumpulan itu akan terus memanfaatkan kepakaran perolehan global Green Esteel untuk mengekalkan kepimpinan kos dan kecekapan pengeluaran. - DagangNews.com