Sektor teknologi tempatan masih terikat segmen tradisional, pendedahan AI terhad - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor teknologi tempatan masih terikat segmen tradisional, pendedahan AI terhad - TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 JanSektor teknologi dan semikonduktor tempatan masih belum mendapat manfaat penuh daripada ledakan kecerdasan buatan (AI) global, menurut TA Securities dalam analisisnya.


Situasi itu memandangkan banyak syarikat yang kekal bergantung kepada segmen tradisional seperti pengguna, industri dan automotif, dengan pendedahan terhad kepada produk AI bernilai tinggi.


Firma penyelidikan itu berkata, meskipun pasaran semikonduktor global terus berkembang pesat didorong permintaan AI dan pengkomputeran berprestasi tinggi, keadaan di Malaysia agak terhad.


"Limpahan manfaat dari luar kepada pemain tempatan juga masih terbatas, justeru kami mengekalkan pendirian 'neutral' terhadap sektor teknologi dan semikonduktor ketika ini," jelas TA Securities.


Tambahnya, berdasarkan data Persatuan Industri Semikonduktor (SIA), jualan semikonduktor global pada November 2025 meningkat 3.5% bulan ke bulan (MoM) dan melonjak 29.8% tahun ke tahun (YoY).


Ia menyumbang AS$75.3 bilion (RM304.8 bilion), menandakan 25 bulan berturut-turut pertumbuhan YoY, dengan segmen memori dan logik muncul penjana utama, disokong permintaan berterusan aplikasi AI.


Dari sudut geografi pula, pertumbuhan YoY diterajui oleh rantau Asia Pasifik (+66.1%), diikuti Amerika (+23.0%), China (+22.9%) dan Eropah (+11.1%), manakala Jepun mencatat penyusutan 8.9%.


"Momentum positif pasaran cip dijangka berterusan, dengan SIA mengunjurkan pasaran semikonduktor global mencecah hampir AS$1 trilion (RM4.04 trilion) sepanjang tahun ini," tambah TA Securities.


Dalam perkembangan berkaitan, jualan peralatan pembuatan semikonduktor diramal naik kepada AS$145 bilion (RM586 bilion) pada 2026, dipacu faktor pelaburan AI dalam logik dan memori termaju.


Bagaimanapun, risiko sektor ini masih wujud, termasuk potensi tarif import semikonduktor oleh Amerika Syarikat (AS), gangguan rantaian bekalan serta ketidaktentuan kadar pertukaran mata wang.


Dari segi saham, firma itu menaik taraf Unisem kepada 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.76, mengekalkan saranan 'beli' bagi Elsoft (TP: RM0.32) dn 'pegang' ke atas Inari (TP: RM2.00). - DagangNews.com