SC Estate Builder beli 25% saham Sentosa Club Hotel berharga RM18.79 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SC Estate Builder beli 25% saham Sentosa Club Hotel berharga RM18.79 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 15 Jan – SC Estate Builder Berhad mengumumkan cadangan pengambilalihan 25 peratus kepentingan ekuiti dalam Sentosa Club Hotel Sdn Bhd pada harga RM18.79 juta,  menandakan langkah strategik kumpulan itu untuk mempelbagaikan perniagaan ke dalam segmen pelaburan hartanah.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata ia telah menandatangani perjanjian jual beli saham dan perjanjian pemegang saham pada 15 Januari 2026 bagi pembelian 20 juta saham biasa dalam Sentosa Club Hotel, yang mewakili 25 peratus kepentingan ekuiti.

 

“Pembelian tersebut akan dilaksanakan melalui penerbitan sebanyak 1.8791 bilion saham keutamaan boleh tukar dan boleh tebus (redeemable convertible preference shares, RCPS) pada harga terbitan RM0.01 sesaham, tanpa melibatkan sebarang bayaran tunai,” katanya.

 

SC Estate Builder menandatangani perjanjian beli saham dengan Koay Seok Chin untuk membeli 25 peratus saham Sentosa Club Hotel.

 

Pada masa sama, mereka juga menandatangani perjanjian pemegang saham dengan Koay dan Loh Shy Huey untuk menetapkan hal berkaitan komitmen, hak dan tanggungjawab setiap pemegang saham selepas pembelian selesai.

 

Cadangan pengambilalihan ini susulan perjanjian awal (heads of agreement) yang dimeterai pada 15 Julai 2025, di mana kedua-dua pihak bersetuju untuk merundingkan terma muktamad bagi urus niaga tersebut, tertakluk kepada penilaian Sentosa Club Hotel.

 

Seiring dengan pengambilalihan itu, SC Estate Builder turut mencadangkan untuk mempelbagaikan perniagaan kumpulan bagi merangkumi aktiviti pelaburan hartanah. 

 

Langkah ini dijangka membolehkan kumpulan meluaskan sumber pendapatan serta mengurangkan kebergantungan kepada perniagaan sedia ada.

 

Bagi memudahkan pelaksanaan pengambilalihan, syarikat juga bercadang untuk meminda perlembagaannya bagi membolehkan penciptaan dan penerbitan RCPS yang akan digunakan sebagai balasan pembelian saham Sentosa Club Hotel.

 

Kesemua cadangan itu, yang merangkumi pengambilalihan, kepelbagaian perniagaan dan pindaan perlembagaan, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham serta pihak berkuasa berkaitan. Maklumat lanjut mengenai cadangan tersebut akan dihuraikan dalam pekeliling kepada pemegang saham yang akan dikeluarkan kelak. - DagangNews.com