SBS Nexus catat untung bersih RM7.12 juta bagi 9MFY25 menjelang penyenaraian di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SBS Nexus catat untung bersih RM7.12 juta bagi 9MFY25 menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 Jan - SBS Nexus Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM7.12 juta bagi tempoh kumulatif selama sembilan bulan tahun kewangan lalu yang berakhir pada 30 September 2025.


Prestasi memberangsangkan ini didorong terutamanya oleh pendapatan mampan dan berulang daripada segmen rumusan penjenamaan digital serta segmen penjenamaan luar talian dilaksanakan kumpulan.


Bagi suku ketiga sahaja, ia merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM2.42 juta daripada perolehan berjumlah RM11.87 juta, namun tiada data perbandingan dengan tempoh suku kedua dilaporkan.


"Ini merupakan laporan kewangan interim pertama yang diumumkan SBS Nexus, selaras dengan Peraturan Keperluan Penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia," kata syarikat itu dalam maklumannya.


Kumpulan itu akan didagangkan pada 20 Januari 2026 selepas tawaran awam permulaan (IPO) melibatkan 24.5 juta saham dilaporkan terlebih langganan sebanyak 22.28 kali yang mencecah nilai RM142.6 juta.


Dalam pada itu, segmen rumusan penjenamaan digital muncul sebagai penyumbang terbesar syarikat tersebut, merangkumi kira-kira 69.5% daripada keseluruhan jumlah perolehan bagi suku berkenaan. 


Melangkah ke hadapan, Lembaga Pengarah SBS Nexus menzahirkan perasaan optimis terhadap prospek jangka panjang kumpulan pemasaran tersebut bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Disember 2026.


"Berdasarkan laporan penyelidikan pasaran bebas, syarikat ini menguasai 0.34% dalam pasaran penjenamaan luar talian dan kira-kira 0.31% dalam pasaran penjenamaan digital di Malaysia," katanya.


Rekod berkenaan dicatatkan kumpulan tersebut bagi tahun kewangan 2024, sekali gus menunjukkan ruang pertumbuhan yang sebenarnya masih luas bagi syarikat terutamanya selepas penyenaraian.


Sehingga kini, syarikat tidak mengisytiharkan sebarang dividen bagi suku kewangan yang dilaporkan, namun dana yang bakal diperoleh daripada IPO berjumlah RM30.6 juta dirancang untuk banyak tujuan.


Antaranya, SBS Nexus sudah merancang permodalan itu digunakan bagi penyediaan ibu pejabat baharu, pengembangan perniagaan, serta pembayaran balik pinjaman. - DagangNews.com