IPOH 15 Jan - Projek pembinaan dan menaik taraf bumbung tapak niaga Gerbang Malam di sini akan dilaksanakan dengan peruntukan RM3 juta yang dipohon Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) melalui Kementerian Pelancongan.
Skop kerja projek ini melibatkan penyambungan dan pengukuhan struktur bumbung sedia ada bagi untuk menjadikan tapak Gerbang Malam berbumbung sepenuhnya.
Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Abdul Hamid berkata, permohonan peruntukan tersebut telah dikemukakan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).
Menurut beliau, reka bentuk bumbung yang moden bukan sahaja berfungsi sebagai perlindungan daripada cuaca, malah direka untuk mengekalkan pengudaraan yang baik serta keselesaan pengunjung dan peniaga.

“Projek ini turut merangkumi naik taraf sistem pencahayaan yang berkonsepkan estetik dan mesra pelancong.
“Pencahayaan yang dirancang secara strategik akan menonjolkan identiti Gerbang Malam sebagai ikon cahaya bandar, mewujudkan suasana malam yang lebih menarik, selamat dan kondusif untuk aktiviti ekonomi serta sosial.
“Dengan pelaksanaan bumbung dan pencahayaan yang bersepadu, Gerbang Malam dijangka tampil dengan wajah baharu yang lebih ikonik dan berdaya saing,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Gerbang Malam yang telah beroperasi 23 tahun lalu merupakan tapak pasar malam kekal yang terletak di pusat bandar Ipoh dan sering dianggap sebagai nadi ekonomi kira-kira 120 penjaja kecil di situ.
Ini kerana peranannya yang besar dalam menyokong pendapatan usahawan mikro serta menghidupkan ekonomi bandar pada waktu malam.



Pada tahun 2020 kerja naik taraf melibatkan pemasangan bumbung bagi sebahagian tapak niaga telah dilakukan melibatkan peruntukan sebanyak RM12 juta.
Menjelaskan lebih lanjut kata Zamakhshari, inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan pengalaman pelawat, malah membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada komuniti setempat, khususnya peniaga kecil dan usahawan tempatan.
“Gerbang Malam kini melangkah ke fasa baharu bukan sekadar tempat persinggahan, tetapi sebuah destinasi yang mencerminkan aspirasi pembangunan pelancongan negara.
“Di bawah cahaya malam yang menyinari struktur baharunya, Gerbang Malam terus menjadi lambang harapan, kemajuan dan denyut kehidupan bandar yang tidak pernah pudar,” ujar beliau. - DagangNews.com








