KUALA LUMPUR 19 Jan – Reservoir Link Energy Bhd mengukuhkan kedudukannya dalam sektor tenaga bersih selepas subsidiarinya, Reservoir Link Solutions Sdn Bhd dianugerahkan kontrak pertama dalam projek pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) oleh Hibiscus Oil & Gas Malaysia Limited.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat penyedia perkhidmatan berkaitan tenaga itu berkata kontrak tersebut melibatkan projek PM3 CAA CCS di mana Reservoir Link Solutions akan melaksanakan semakan pihak ketiga dan memberikan jaminan teknikal terhadap kajian CCS yang telah dijalankan.
“Skop kerja termasuk semakan aliran kerja bawah tanah, data input, andaian teknikal, serta model statik dan dinamik.
“Selain itu, Reservoir Link Solutions akan menilai analisis dan interpretasi teknikal serta mengemukakan cadangan praktikal dan kos efektif untuk mengurangkan risiko atau jurang yang wujud,” katanya dalam makluman tersebut.
Kontrak itu berkuat kuasa selama dua tahun dari tarikh pemberian dan menandakan langkah pertama syarikat memasuki segmen CCS yang semakin berkembang pesat di Malaysia.
Timbalan Pengerusi Eksekutif Reservoir Link Thien Chiet Chai berkata pemilihan syarikat untuk projek ini mencerminkan kepakaran dan rekod prestasinya dalam sektor minyak dan gas serta komitmen untuk menyokong aspirasi Malaysia ke arah pengurangan karbon.
“CCS diiktiraf sebagai mekanisme penting dalam pengurangan pelepasan karbon, menjamin keselamatan tenaga jangka panjang dan menyokong peralihan ke landskap tenaga yang lebih lestari.
“Dengan kejayaan memperoleh projek ini, kami berada pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang baharu serta mewujudkan nilai jangka panjang,” katanya.
Reservoir Link mula ditubuhkan pada 2 Disember 2014 dan kini menyediakan pelbagai perkhidmatan berkaitan telaga minyak dan gas, termasuk perforasi telaga, pembaikan kebocoran, ujian, cuci dan simen, serta perkhidmatan wireline.
Selain itu, syarikat juga menawarkan perkhidmatan pemulihan minyak yang dipertingkat, kajian makmal, interpretasi pakar mengenai aliran dan kerosakan formasi, serta penyelesaian pengurusan pasir.
Baru-baru ini, Reservoir Link mengembangkan perkhidmatannya dengan terlibat projek solar fotovoltaik untuk kediaman, komersial, dan industri, termasuk pemasangan sistem solar berskala besar dan kerja kejuruteraan pelengkap seperti sivil, struktur, mekanikal dan elektrik.
Dengan kontrak CCS ini, Reservoir Link bukan sahaja mengukuhkan kedudukannya dalam sektor minyak dan gas tradisional tetapi juga menempatkan diri sebagai pemain penting dalam pembangunan teknologi tenaga bersih, membuka peluang pertumbuhan mampan dan nilai jangka panjang untuk para pemegang saham. - DagangNews.com








