Reneuco lantik Datuk Samsul Husin sebagai ahli Lembaga Pengarah berkuat kuasa 15 Januari 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Reneuco lantik Datuk Samsul Husin sebagai ahli Lembaga Pengarah berkuat kuasa 15 Januari 2026

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 JanReneuco Berhad mengumumkan pelantikan Datuk Samsul Husin sebagai salah seorang anggota Pengarah Bebas Bukan Eksekutif syarikat tersebut berkuat kuasa 15 Januari 2026.


Tokoh korporat berusia 63 tahun itu, memiliki 35 tahun pengalaman dalam bidang perakaunan dan teknologi maklumat, serta pakar dalam sistem kewangan, perancangan dan reka bentuk sistem.


"Beliau turut berkemahiran dalam pengurusan perubahan serta pengurusan projek, termasuk pengalaman luas dalam perakaunan sektor awam dan badan berkanun," maklum Reneuco kepada Bursa Malaysia.


Samsul merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan ahli berdaftar dalam Institut Akauntan Malaysia (MIA) serta Perancang Kewangan Bertauliah di negara ini.


Sepanjang kerjayanya, beliau pernah memegang pelbagai jawatan kanan termasuk Timbalan Pengerusi Eksekutif Dagang Nexchange Berhad (DNEX) dan Pengerusi Jawatankuasa Audit FELCRA Berhad.


Selain itu jelas kenyataan Reneuco lagi, beliau juga pernah berkhidmat sebagai pengarah dalam beberapa syarikat tempatan dan antarabangsa, antaranya termasuk Ping Petroleum Ink di United Kingdom.


"Kini, beliau ialah Pengarah di Leadcom Group of Companies dan Inventrix Sdn Bhd," tambah kumpulan itu, serta mengesahkan Samsul pernah bertugas di Jabatan Akauntan Negara dari 1988 hingga 1991.


Menurutnya, beliau turut tidak mempunyai sebarang hubungan kekeluargaan, kepentingan saham atau konflik kepentingan dengan syarikat, pengarah mahupun pemegang saham utama syarikat berkenaan.


Pelantikan terbaharu ini dilihat dapat memperkukuhkan tadbir urus korporat dan kepakaran lembaga pengarah Reneuco, sejajar dengan strategi pertumbuhan dan hala tuju jangka panjang kumpulan tersebut.


Ia berlaku selang beberapa hari selepas Bursa Malaysia pada 9 Januari 2026, mengenakan tindakan disiplin termasuk teguran awam dan denda terhadap syarikat berkenaan serta lima orang pengarahnya.


Langkah itu berikutan pelanggaran Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama apabila gagal mengemukakan laporan tahunan mengandungi penyata kewangan beraudit dalam tempoh ditetapkan. - DagangNews.com