Rekod buku tempahan RM5.8 bilion jadikan Binastra pemain utama projek hartanah Johor - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Rekod buku tempahan RM5.8 bilion jadikan Binastra pemain utama projek hartanah Johor - RHB Research

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Jan – Binastra Corporation dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan bagi tahun kewangan 2026 selepas berjaya memperoleh kontrak terbesar dalam sejarah syarikat bernilai RM1.2 bilion daripada Exsim Lumba Kuda bagi kerja bangunan utama projek Causewayz Square di Johor Bahru, menurut RHB Research.

 

Projek tersebut ialah pembangunan sebuah apartmen servis 63 tingkat dengan 4,525 unit kediaman.

 

RHB Research berkata kontrak tersebut menambah buku tempahan syarikat yang kini mencecah rekod tertinggi RM5.8 bilion, memberikan nisbah buku tempahan kepada pendapatan enam kali ganda. 

 

“Kontrak Causewayz Square dianggarkan memberi margin bersih sekitar 10 peratus, sejajar dengan jangkaan keuntungan syarikat bagi projek-projek baharu.

 

“Sehingga kini, Binastra telah meraih projek baharu bernilai RM3.4 bilion bagi FY26, hampir mencapai sasaran dalaman kami sebanyak RM4 bilion. 

 

“Ini bermakna baki kira-kira RM0.6 bilion dijangka diperoleh daripada projek tambahan, terutamanya di Johor Bahru atau Lembah Klang,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

Firma tersebut berkata projek berpotensi diperolehi oleh Binastra selepas ini termasuk dua fasa tambahan untuk The Asteriaz dengan anggaran nilai pembinaan RM400–500 juta serta projek Maxim Global di Taman Pelangi bernilai RM800 juta.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Binastra raih kontrak tertinggi bernilai RM1.2 bilion untuk pembangunan ikonik Causewayz Square, Johor Bahru

 

Selain itu, potensi pembangunan tanah 6 ekar berhampiran New York Hotel, Johor Bahru dengan GDV RM2.3 bilion, yang mungkin dibangunkan pada masa akan datang juga mungkin diraih Binastra.

 

RHB Research berkata baki buku tempahan yang kukuh ini memberikan keyakinan terhadap pertumbuhan syarikat bagi FY26.

 

“Projek-projek strategik di kawasan berhampiran stesen Rapid Transit System Bukit Chagar dijangka mengekalkan permintaan bagi pelancaran hartanah baharu, terutama di kawasan Johor Bahru.

 

“Selain itu, Binastra terus mengekalkan kepelbagaian projek, termasuk bukan kediaman, yang memberi kelebihan berbanding pesaing yang bergantung sepenuhnya kepada projek kediaman semata-mata,” katanya.

 

Sehubungan itu, RHB Research mengekalkan saranan Beli bagi Binastra dengan harga sasaran RM2.69, menawarkan potensi kenaikan 26 peratus berbanding harga semasa RM2.14. 

 

Saham kini diniagakan pada 13.8 kali P/E FY27F, sedikit diskaun berbanding purata indeks pembinaan Bursa Malaysia sekitar 16 kali semasa kitaran pembinaan 2017. Menurut RHB Research, risiko utama bagi Binastra adalah sekiranya trend pengambilan projek baharu menjadi perlahan, yang boleh menjejaskan sasaran FY26.

 

Dengan rekod buku tempahan yang kukuh, margin projek yang stabil, dan potensi projek tambahan bernilai ratusan juta ringgit, Binastra dijangka terus berada pada landasan pertumbuhan kukuh bagi FY26, sambil memanfaatkan permintaan pasaran yang tinggi di kawasan strategik Johor Bahru dan Lembah Klang. - DagangNews.com