redBus catat peningkatan tempahan tiket sebanyak 15% pada 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

redBus catat peningkatan tempahan tiket sebanyak 15% pada 2025

Gambar hiasan .
Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 15 Jan – redBus terus mengukuhkan peranannya sebagai pemacu utama mobiliti domestik apabila mencatatkan peningkatan kira-kira 15% dalam perkhidmatan tempahan tiket sepanjang 2025.

 

Penyedia platform tempahan bas dalam talian itu berkata, pertumbuhan secara konsisten tersebut menyerlahkan kepentingan berterusan bas sebagai mod pengangkutan yang praktikal dan mampu milik.

 

Tambahnya, pertambahan permintaan adalah positif khususnya ketika negara bersiap sedia menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026 yang memberi penekanan kepada penerokaan budaya dan perluasan kesalinghubungan.

 

Ketua Pegawai Perniagaan redBus, Krishnan Ramaswami berkata, peningkatan berkenaan membuktikan perubahan corak mobiliti rakyat Malaysia.

 

“Pertumbuhan konsisten dalam perjalanan bas yang kami perhatikan sepanjang 2025 menegaskan peranan pengangkutan bas yang semakin penting dalam landskap mobiliti Malaysia,” katanya.

 

Menurut beliau, semakin ramai pengguna memilih bas sebagai alternatif yang selesa dan efisien berbanding kenderaan persendirian.

 

Beliau berkata, menjelang pelaksanaan Tahun Melawat Malaysia 2026, redBus menjangkakan lebih ramai pengembara meneroka destinasi di luar bandar utama.

 

“Melalui peluasan perkhidmatan serta pemanfaatan data dan cerapan perjalanan untuk menjangka permintaan, redBus membantu menjadikan perjalanan domestik lebih lancar, inklusif dan menyeronokkan untuk semua,” katanya.

 

redbus

 

Sepanjang 2025, laluan Kuala Lumpur–Melaka muncul sebagai laluan paling sibuk, diikuti Kuala Lumpur–Johor, serta laluan ke Kuantan dan Pulau Pinang. 

 

Menurut redBus, laluan-laluan utama ini mencatat pertumbuhan tempahan sebanyak 20% berbanding 2024, sekali gus mengukuhkan kepentingan menghubungkan hab serantau utama di seluruh negara.

 

redBus berkata, kalendar perayaan kekal sebagai pemacu utama permintaan perjalanan, dengan tempahan tiket meningkat sekitar 10% pada setiap musim perayaan. Hari Raya mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 12%, manakala Tahun Baharu Cina melonjak 20.7%. 

 

Dengan kedua-dua perayaan berlangsung berdekatan, permintaan dijangka kekal tinggi dalam tempoh puncak yang lebih panjang.

 

Menurut redBus, sebanyak 41% pengembara pernah berdepan kesukaran mendapatkan tiket akibat kekangan bekalan, walaupun penambahan bas dan laluan telah dilakukan.

 

Justeru, tempahan awal melalui platform redBus menjadi semakin penting bagi memastikan tarikh perjalanan pilihan dapat dipenuhi.

 

Musim percutian hujung tahun turut menyumbang ketara, merangkumi 22% daripada keseluruhan tiket terjual pada suku keempat (Oktober hingga Disember). 

 

Situasi ini, menurut redBus, memerlukan penjadualan lebih cekap, peluasan laluan serta pengalaman tempahan yang lancar bagi menyokong operasi terminal bas yang hampir beroperasi sepanjang masa.

 

Selain laluan sedia ada, beberapa laluan mencatat pertumbuhan tertinggi pada 2025 berbanding 2024, termasuk Bentong–Kuala Lumpur, Kuala Lipis–Kuala Lumpur dan Johor Bahru–Singapura, mencerminkan peningkatan permintaan perjalanan antara negeri dan rentas sempadan.

 

redBus juga memperkenalkan laluan baharu seperti Kuala Besut–Johor Bahru dan Sandakan–Tawau, yang menerima sambutan positif, selain laluan Pasir Mas–UniSZA yang berkembang sejajar keperluan pelajar berulang-alik antara Kelantan dan Terengganu.

 

Dari segi profil pengguna, perjalanan solo mendominasi dengan 82% daripada keseluruhan tiket, berbanding 12% perjalanan berkumpulan, kebanyakannya berkait urusan kerja, pendidikan dan pulang ke kampung. 

 

Menurut redBus, trend tempahan saat akhir turut meningkat, menandakan keperluan terhadap pilihan perjalanan yang lebih fleksibel dan mudah.

 

Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, redBus berkata, perjalanan berasaskan pengalaman semakin mendapat tempat, dengan pengguna bukan sekadar ingin tiba ke destinasi, tetapi turut mencari pengalaman budaya dan kulinari.

 

Inisiatif seperti Food Map oleh redBus membantu pengembara merancang perjalanan berteraskan lokasi makanan wajib dikunjungi serta destinasi yang jarang diterokai.

 

Dalam perkembangan lain, Terminal Bersepadu Selatan (TBS) kekal sebagai terminal paling sibuk di Malaysia, manakala Hari Khamis muncul sebagai hari perjalanan paling sibuk sepanjang 2025, diikuti Hari Ahad selepas hari gaji (selepas 26 haribulan). 

 

Hari Selasa pula mencatat tahap perjalanan paling rendah, sementara Disember menjadi bulan paling sibuk dan Mac paling perlahan.

 

Secara keseluruhan, redBus berkata, corak perjalanan sepanjang 2025 menunjukkan peralihan ke arah perjalanan yang lebih kerap dan bermakna.

 

Menurutnya, dengan kemudahan, fleksibiliti dan kemampuan sebagai keutamaan, redBus akan terus memperluaskan akses perjalanan melangkaui bandar utama, menyokong ekonomi setempat serta membantu membentuk ekosistem pelancongan yang lebih inklusif dan dinamik menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026. - DagangNews.com